KEJAYAAN itu terletak pada individu. Berjaya atau gagalnya seseorang itu adalah terlalu subjektif. Mahu mengaku gagal? Ingin merasakan anda telah berada di puncak?

Ya, anda berhak untuk berbuat apa sahaja. Berjaya atau pun gagalnya anda adalah di tangan anda sendiri.

Anda boleh katakan bahawa anda adalah seorang yang sangat berjaya dengan bergelar seorang suri rumah andai sejak kecil anda memang memasang impian untuk menjadi suri rumah terbaik buat suami dan anak-anak.

Anda juga boleh mengatakan bahawa anda telah gagal hari ini walaupun anda sedang bergelar usahawan yang hebat kerana suatu masa dahulu anda pernah memasang angan untuk menjadi jutawan pada usia 20 tahun.  Anda gagal merealisasikan impian itu pada usia tersebut.

Justeru, gagalkah anda atau berjayakah anda adalah terletak di dalam pemikiran anda sendiri. Seorang petani akan mengatakan dia seorang yang amat berjaya kerana berjaya mendidik salah seorang anaknya ke menara gading.

Seorang atlit sukan dunia boleh juga mengaku bahawa beliau  telah gagal kerana beliau tidak pernah berjaya memecahkan rekod dunia di dalam acara yang dilibatkannya selama ini.

Teman-teman, adik-adik dan anda semua yang membaca, jangan mudah untuk berasa sedih. Usah sekali-kali berputus harap. Ramai lagi orang di dunia ini yang sedang dirundung malang. Mereka pun tidak pernah bersedih seperti kita. Mengapa kita yang melebih-lebih.

Hendak bersedih dan bermuram pun boleh, cuma jangan sampai keterlaluan. Jangan sampai dikata cuba melawan takdir Tuhan.

Manusia itu diciptakan sememangnya untuk menempa kejayaan yang sebanyak mungkin di atas muka bumi ini. Tuhan sendiri tidak suka kepada hambanya yang malas untuk meraih segala kemenangan di alam ciptaannya.

Justeru, mari kita sama-sama serlahkan kehebatan kita. Berjaya atau gagal itu soal nombor dua. Apa pun yang berlaku, anda harus dan wajib untuk ceria kerana anda telah berjaya menyahut seruan kejayaan yang menyeru, memanggil-manggil anda selama ini.

Selamat berusaha!