KEJAYAAN itu bermula daripada fikiran. Untuk tujuan apa sekalipun, tanpa niat dan hati yang benar-benar kuat, nescaya tidak akan dapat apa yang diidam.

Seorang kawan pernah memberitahu kepada saya, “Aku ini bukannya apa, Cuma aku rasa nasib aku ini memang tak baik. Apa yang aku nak mesti tak dapat,”

Ha, mengapa boleh jadi begini? Bukannya dia ini pun tidak berusaha. Kalau diikutkan situasi dan keadaan ketika itu, dia ini adalah jauh lebih berjaya dan hebat daripada saya. Pun masih mengatakan kejayaan sering meninggalkannya keseorangan, sepi tanpa senyuman gembira.

Ya, kejayaan dan kecemerlangan itu lahirnya pada akal. Selagi mana kita tidak memasakkan azam yang benar-benar kukuh untuk menggapainya, sampai bila pun kita tidak akan dapat mencapainya. Kalau dapat sekalipun, itulah yang sering dikata sebagai kebetulan.

INSPIRASI DARIPADA ANUAR MANAN

PERNAHKAH anda terfikir bagaimana Anuar Manan berjaya merebut salah satu jersi utama pada perlumbaan lumba basikal Le Tour de Langkawi tempoh hari?

Bagaimana anak watan sepertinya mampu berdiri gah di atas podium bersama pelumba handalan yang lain? Apakah rahsianya?

Saudara-saudara, tuan-tuan dan puan-puan sekalian tentu punya impian-impian besar yang masih belum terlunas. Mungkin terlalu banyak untuk disenaraikan satu-persatu. Kalau disenaraikan sekalipun, belum tentu kita punya kekuatan untuk mengingat kesemua impian kita itu bukan.

Justeru, apakah yang membuatkan Anuar Manan berjaya seperti itu? Apakah juga yang bakal membantu kita mencapai segala kehendak dan impian kita tersebut?

Percayalah bahawa tidak akan ada kesenangan dan kejayaan tanpa niat dan pemikiran yang benar-benar positif ke arah itu. Dan saya percaya bahawa itu jugalah yang dilakukan oleh Anuar Manan sebelum semua pelumba dilepaskan di awal perlumbaan.

Justeru, jadilah manusia kuat dan hebat. Cemerlang untuk semua lapangan hidup kita. Sematkan azam yang kukuh mulai sekarang, mudah-mudahan kejayaan sentiasa mendampingi kita.

Salam kejayaan!