KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan akan menimbangkan untuk mewajibkan semua guru bertugas di kawasan pedalaman antara tiga dengan lima tahun daripada tempoh perkhidmatan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan sasaran untuk menyahut cabaran itu ialah guru-guru yang masih belum berkeluarga.

Katanya, langkah itu akan menjadi satu bentuk dorongan dan cabaran baru kepada warga pendidik untuk bertugas di kawasan pedalaman di atas dasar khidmat sosial kepada negara.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah penempatan guru di kawasan pedalaman yang menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi Kementerian Pelajaran pada masa ini.

“Dalam tempoh 30 tahun guru berkhidmat, mungkin boleh antara tiga ke lima tahun dari tempoh itu mereka memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman.

“(Ini) sebagai satu kewajipan, bukan sebagai satu pilihan dan ini memang perlu kita lihat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sewaktu ditemu bual dalam rancangan Agenda Awani yang disiarkan oleh stesen televisyen Astro, di sini malam ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan beberapa bentuk galakan untuk guru bertugas di kawasan pedalaman seperti elaun sara hidup maksimum RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, yang lebih penting ialah kesungguhan dan kesediaan warga perguruan untuk berkorban demi anak bangsa.

“Kalau semua nak pergi ke kawasan bandar, tidak ada pihak yang bersedia untuk berkorban mendidik anak- anak di pedalaman. Ini adalah satu kepincangan dalam sistem (pendidikan) kita,” katanya.

SUMBER

UNTUK para guru sekalian, inilah yang dikatakan pengorbanan. Ya, mendidik bukanlah semudah yang dikata.

Saya yakin bahawa anda semua yang sedang berada di dalam ‘madrasah’ dan ‘kolej pembikinan’ untuk menjadi seorang pendidik, dapat menyahut seruan kerajaan ini dengan hati yang terbuka.

Sesungguhnya, terlalu besar pengorbanan dan jasa para pendidik dalam membentuk peribadi dan acuan buat anak-anak bangsa kita. Tanpa mereka, siapalah kita, siapalah juga perdana menteri kita pada hari ini.

Mungkin ada yang mengeluh kerana di kala kita juga sedang berusaha untuk melatih lebih ramai lagi anak-anak muda untuk bergelar pendidik berkaliber khususnya di dalam Bahasa Inggeris, boleh pula dilaksanakan langkah terbaru ini!

Jelas sekali ada yang menganggap ini adalah sebuah ‘projek gila’ yang semata-mata akan membunuh semangat anak-anak kita untuk menjadi pendidik.

Walaubagaimanapun, anggaplah ini sebagai cabaran. Tidakkah ini merupakan salah satu usaha kita untuk membantu anak-anak tempatan yang masih buta huruf di kawasan-kawasan pedalaman. Bukankah itu adalah jauh lebih mulia?

p/s Barangkali suatu hari nanti, graduan lepasan bidang kedoktoran akan turut mengalami nasib yang serupa.