TIDAK mengejutkan apabila ramai yang mengatakan bahawa kekayaan boleh melalaikan. Kemewahan mampu menjadikan seseorang lupa diri, hidup semakin menimbulkan pelbagai masalah lain.

 Alah, harta bukan segala-galanya.

 Wang banyak mana pun tidak bererti.

 Ungkapan sedemikian rupa mungkin sering kita dengar di mana-mana. Benarkah begitu?

 Saya berpegang pada satu prinsip. Pegangan saya ialah apabila seseorang itu sememangnya punya pegangan agama yang kuat, memang benar-benar ikhlas dan mempunyai sahsiah diri yang mulia, maka apa pun juga yang berlaku kepadanya tidak sama sekali akan mengubah keadaan seseorang itu.

 Bukankah kekayaan itu akan menunjukkan kepada kita akan sejauh mana sikap kita sebenarnya selama ini? Adakah mulia dan baik hati kita selama ini?

 Mengapa sering mengaitkan wang dengan ciri-ciri yang negatif. Sebut sahaja duit, serta-merta kita sering dipenuhi dengan perkara-perkara yang buruk!

 Wang boleh menjauhkan seseorang itu dengan agama.

 Kenapa tidak kita berfikir, dengan kemewahan dan lebihan harta juga mampu membuatkan seseorang yang benar-benar jujur selama ini terus menginfakkan hartanya sebanyak mungkin ke jalan dan saluran yang betul.

 Kalau mungkin selama ini, anda yang mungkin sememangnya baik hati, pemurah dan  saban malam mengimpikan untuk memberi sumbangan tanpa ada batasannya kepada mana-mana pihak yang memerlukan, tidakkah dengan lebihan wang ini menjadi bukti akan kejujuran dan kemuliaan anda selama ini. Adakah anda benar-benar pemurah atau ia sekadar angan-angan kosong.

 Tidak semua orang kaya itu sombong. Tidak semua juga si miskin itu mulia.

 Kalau orang selalu mengatakan bahawa kekayaan itu seringkali menimbulkan kesulitan tambahan dalam hidup. Dibebani hutang dan sebagainya. Tidakkah kita pernah terfikir bahawa kemiskinan juga sering dikaitkan dengan kes-kes yang tidak tidak bermoral.

 Bukankah kejadian rompakan, pengedaran dadah dan seumpanya lagi itu adalah lantaran daripada kesempitan hidup dan ketidakcukupan dalam belanja seharian.

 Justeru, bukankah lebih baik kaya dengan ditimpa masalah daripada miskin ditimpa pula dengan masalah. Ibarat sudah jatuh, ditimpa pula tangga.

 Fikir-fikirkan!