Pemeriksaan mata ke atas seorang penduduk

GUA MUSANG: Kira-kira 6,000 penduduk Kelantan dikesan mengalami kecacatan penglihatan dan buta disebabkan tidak menerima rawatan awal bagi mencegah masalah penglihatan itu.

Penyelaras Projek Khidmat Masyarakat Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Dr N Jaganathan, berkata punca utama masalah itu disebabkan kemiskinan terutama yang tinggal di luar bandar, menyebabkan mereka sukar mendapat rawatan selain tidak mampu membayar kos rawatan tinggi.

Selain itu katanya, dianggarkan seramai 20,000 penduduk di negeri itu menghadapi masalah penglihatan terhad serta menghidap katarak, dan ini menjadikan Kelantan paling ramai menghadapi masalah berkenaan di negara ini.


Menyedari masalah ini, Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn bersama Persatuan Orang Buta Malaysia mengambil inisiatif membuka cawangan hospital ini di Kelantan pada 2005, di Jalan Telipot, Kota Bharu, bagi memberi khidmat pemeriksaan mata kepada masyarakat.

“Sebenarnya, 80 peratus masalah penglihatan boleh dicegah sekiranya pesakit mendapat rawatan awal,” katanya pada majlis perasmian Kem Pembedahan, Program Khidmat Masyarakat Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, di pekarangan Hospital Gua Musang (HGM), di sini.

Program khidmat masyarakat itu anjuran bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Kelab Lion Gua Musang, HGM, yang dirasmikan oleh Ketua Jajahan Gua Musang, Abdullah Md Yusoff.

Dr Jaganathan berkata, objektif utama program ini ialah untuk mengesan serta memberi rawatan kepada pesakit Katarak di pedalaman, memandangkan ramai di kalangan penduduk masih tidak tahu mengenai penjagaan mata dengan betul.

SUMBER

DEWAN bedah bergerak Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn

APA yang berlaku ini sebenarnya perlu diambil perhatian oleh semua pihak, dan bukan sahaja terhad kepada masyarakat yang terlibat sahaja.

Kalau mungkin lazimnya kejadian seumpama ini berlaku di kawasan dan negara-negara yang mempunyai taraf kemiskinan yang terlalu rendah, namun hakikatnya ianya berlaku juga di negara kita.

 Ini adalah peringatan dan sekadar notis awal buat generasi pewaris tonggak negara. Lakukanlah perubahan mulai sekarang, bangunkanlah sebuah negara yang lengkap, adil, maju dan membangun di semua tempat, kawasan dan masyarakat di dalam negara!