BERAT yang berlebihan lazimnya dikaitkan dengan meningkatnya risiko mengidap pelbagai jenis penyakit. Benar bukan?

 Ramai individu juga yang mengalami berat badan yang berlebihan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan berat badan mereka kembali kepada berat yang normal dan ideal. Persoalannya, sejauh manakah, teori dan fakta bahawa faktor obesiti serta kegemukan ini memainkan peranan dalam peningkatan risiko kematian seseorang.

 Berikut merupakan suatu penemuan hasil kajian terbaru daripada Leon Flicker dan kumpulannya di Universiti Australia Barat.

 HASIL KAJIAN LEON FLICKER DAN PASUKANNYA

KAJIAN yang dijalankan di Australia itu mendapati golongan yang berumur 70 tahun ke atas yang memiliki berat badan berlebihan memperoleh jangka hayat tambahan sehingga 10 tahun lebih lama berbanding mereka yang sebaya dengan berat badan normal!

Kajian terbitan 28 Januari lalu di dalam Journal of the American Geriatrics Society itu bertentangan dengan kajian asal yang mencadangkan memiliki berat badan berlebihan mengundang pelbagai jenis penyakit, termasuk penyakit jantung.

“Kajian kami mencadangkan mereka yang berumur 70 tahun dan memiliki kesihatan yang baik berdepan dengan set risiko dan kebaikan yang berbeza mengikut jumlah lemak dalam tubuh berbanding golongan yang lebih muda,” kata ketua pengkaji di Universiti Australia Barat, Leon Flicker.

Flicker dan pasukannya menghabiskan masa selama sedekad untuk mengumpul data kesihatan lebih 9,200 warga Australia berumur antara 70 hingga 75 tahun pada 1996 ketika kajian itu dimulakan. Australia berada pada kedudukan negara ketiga paling tinggi penghidap obesiti di dunia selepas Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Kajian itu memperhalusi berat badan berlebihan dan tahap obesiti berdasarkan indeks jisim tubuh (BMI), ukuran yang mempertimbangkan berat badan dan ketinggian. Empat kategori berat yang digunakan dalam kajian itu termasuklah berat badan kurang, berat badan normal, berat badan berlebihan dan obesiti.

Orang yang memiliki berat badan berlebihan berdepan dengan 13 peratus lebih rendah risiko kematian berbanding mereka yang memiliki berat badan normal.

Bagaimanapun, tiada kebaikan ditemui pada mereka yang menghidap obesiti.

Pengkaji juga mendapati pekerjaan yang lebih banyak dilakukan dalam posisi duduk menggandakan risiko kematian bagi wanita dan meningkatkan satu suku risiko bagi lelaki.

KEPERLUAN MENGKAJI SEMULA SISTEM BERAT BADAN

 EKORAN daripada penemuan itu, para penyelidik mendapati sudah tiba masanya sistem yang menentukan sama ada seseorang itu memiliki berat badan berlebihan dan obesiti dinilai semula.

Tindakan ini dirasakan wajar memandangkan perlunya penyelarasan semula untuk menilai indeks berat badan dan risiko kepada kematian dengan lebih tepat.

Diharapkan segala hasil  kajian dan penemuan-penemuan baru ini bakal menghasilkan natijah dan kesimpulan yang lebih tepat dan bernas, buat kepentingan kita dan juga seluruh masyarakat generasi akan datang.

SUMBER