BERLIN: Seorang doktor gigi Jerman mencetuskan kontroversi apabila beliau enggan merawat pesakitnya selepas mendapat tahu bahawa nama remaja itu ialah Cihad (nama Turki disebut Jihad).

Doktor itu berkata, beliau menganggap nama pesakit sebagai pengisytiharan perang ke atas bukan Islam dan menyuruhnya pulang.

Remaja berusia 16 tahun, Cihad Celik, berjumpa pakar pergigian untuk membetulkan pendakap gigi namun ditolak doktor gigi itu atas sebab namanya.

Keluarga budak lelaki itu di Donaueschingen, mungkin meminta polis mendakwa wanita berkenaan atas sebab melakukan diskriminasi dalam insiden Selasa lalu.

Pakar pergigian itu kemudian memberitahu akhbar selatan Jerman, Schwarzwaelder Boten, bahawa beliau kemudian merasa kesal dengan pendiriannya kerana ‘bukan salah budak lelaki itu yang diberikan nama oleh ibu bapanya.’

Budak lelaki itu menjalani rawatan meratakan gigi selama dua tahun di klinik sama namun dengan pakar berbeza, yang tidak hadir ketika hari kejadian. – Agensi

SUMBER

ENTAH apa hendak jadi pada dunia sekarang. Soal nama pun boleh menjadi isu. Kalau sudah hati itu sendat dengan prasangka dan hasad, segala apa pun yang dibuat, tetap menjadi jahat, buruk pada pandangan mata.

Berdoalah moga suatu hari nanti, akan terbuka segala pintu kebenaran, buat dunia, buat seluruh isi jagat raya!