PERCAYAKAH anda kalau saya katakan bahawa bumi Mesir, tanah para anbiya’ ini akan mengalami banjir besar tidak lama lagi? Mesir bakal tenggelam dek limpahan air laut di perairan sekitarnya.

Berikut adalah beberapa hasil kajian dan dapatan yang bakal mengukuhkan kenyataan saya di atas.

IKLIM YANG SENTIASA BERUBAH

MOHAMMED AL-RAEY dari Pusat Respons Bencana Wilayah dan pakar-pakar yang lain mendapati bahawa peningkatan paras air laut bakal mengganggu kesuburan Delta Nil serta secara langsung akan  mengubah kualiti tanah akibat serapan air laut ke dalam tanah.

Keadaan ini akan menyebabkan penduduk terpaksa berpindah-randah, sekali gus meningkatkan masalah pengangguran di kawasan-kawasan lain dan  akhirnya bakal mengakibatkan pelbagai lagi masalah-masalah sosial yang lain.

Tambahan pula, dengan pembinaan Empangan Tinggi di sekitar Aswan (Selatan Mesir), ekosistem di Sungai Nil kini diperhatikan semakin terjejas terutamanya dalam tempoh enam dekad kebelakangan ini.

Projek gergasi itu biarpun pada awalnya didapati berjaya mengawal situasi buruk yang berlaku akibat banjir tahunan di Sungai Nil tetapi pada masa yang sama ia juga mengakibatkan tanah-tanahnya kehilangan nutrien penting

DELTA SUNGAI NIL SEMAKIN TANDUS

PAKAR-PAKAR juga menjangkakan bahawa kawasan seluas 20,000 hektar berhampiran perairan Alexandria, di Mesir bakal ditenggelami air pada 2025!

Dan ini pastinya bakal mengakibatkan ramai penduduk Mesir hilang sumber makanan, pekerjaan dan kediaman.

Hasil kajian lain juga mendapati pemanasan global yang sedang berlaku semakin mencepatkan kesan kepada delta terutama sumber pelancongan, pertanian dan pastinya perubahan kepada ekosistem.

Sumber yang lain mengesahkan bahawa  laut Mediterranean telah mengalami peningkatan paras pantai di Delta Nil sebanyak 0.2 meter. Dan ini sekali gus akan menyebabkan limpahan air laut ke kawasan berhampiran dan setempat!

Kerajaan Mesir telah berusaha melakukan beberapa kajian spesifik di sekitar pantai Alexandria, dan hasil daripada kajian itu mendapati bahawa peningkatan air laut dijangkakan akan terus berterusan dan mengakibatkan banjir besar. Dan ini pastinya bakal menenggelamkan beberapa kawasan daratan berhampiran.

Menurut kajian itu lagi, “Peningkatan sebanyak 0.3 meter dari paras laut di perairan Alexandria, Mesir dijangkakan berlaku pada 2025 dan akan menyebabkan kawasan seluas 20,000 hektar akan ditelenggami air.”

Dunia ini memang terkadang itu terlalu sukar untuk dirungkaikan. Licik dan payah untuk dihurai satu-persatu. Sebab itu Allah S.W.T sentiasa menyeru seluruh hambaNya untuk senantiasa mentadabbur dan menghayati setiap ukiran indahNya di atas muka bumi ini.

Perubahan yang sentiasa berlaku ke atas alam ciptaanNya ini adalah terlalu indah untuk diceritakan. Bayangkan, mampukah ada sebuah kuasa yang lebih besar dan hebat daripada Dia untuk menciptakan segala perkara dan kejadian unik di semesta ini?

Allah jualah Maha hebat, Maha Agung, Maha Penuh Bijaksana ke atas setiap sesuatu yang ada di alam ini!

Lagi mengenai Tenggelamnya Bumi Mesir, klik sini.