UNTUK apa kita dilahirkan? Mengapa pula kita dijadikan di atas muka bumi ini? Siapa kita di akhirnya nanti?

Saya sering memikirkan soal gejolak dan kacau pada isian hati. Sering berbolak-balik, terolang-aling atas apa diciptakan selama ini? Mengapa pula Dia memilih saya ke lorongan ini?

Ya, sejak kecil saya memilih untuk berada di sini. Mempelajari dan hidup dengan apa yang saya alami di kala ini. Ini yang saya mahukan sejak dulu lagi, ini juga yang sering terimpi-impi dalam igauan kecil saya. Mungkin berbelas-belas tahun dahulu. Aduh, begitu hebat Dia menjangkau pemikiran saya, sejauh itu!

Saya ingin memberi. Melakukan sesuatu yang dapat memberi kepuasan penuh kepada diri, masyarakat dan manusia sekeliling. Saya mahu orang sekeliling saya tersenyum. Saya mahu semua di sisi saya sentiasa gembira. Kerana itu saya memilih untuk berada seperti hari ini.

Dan saat ini, saya merasakan perjalanan saya semakin jauh. Sisa dan baki yang masih tertinggal seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

 KENAPA BERGELAR DOKTOR?

 SAYA pernah berulang kali. Menyoal-nyoal nurani sendiri. Mengapa saya mahu menjadi pengamal perubatan? Untuk apa?

Ya, itu jawapan saya. Berulang kali, itu juga jawapannya. Sama dan tidak pernah berubah. Saya mahu memberi. Saya ingin melihat manusia-manusia yang sebelumnya berduka, kemudian mampu tersenyum lebar. Saya puas. Tidak salah bukan?

Setiap penyembuhan itu Allah juga Yang Maha Mengetahui. Dialah juga Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Dan sesiapa pun yang terpilih, diberi tanggungjawab untuk mempelajari serta mengamalkan ilmu tersebut, seharusnya mengguna dan melaksanakan dengan sepenuh tanggungjawab. Usah riak, jauh sekali untuk takabbur!

” Sesungguhnya Allah tidak akan melihat bentuk badan atau rupamu tetapi yang dipandang oleh Allah ialah  niat dan keikhlasan hatimu ” (H.R Muslim).

Untuk apa dipandang mulia oleh masyarakat. Apa gunanya tinggi pada mata orang, namun rendah dan hina pada mata Allah S.W.T? Apa pula mulianya manusia itu jika hati penuh dengan seribu perasaan yang boleh menjurumuskan kita jauh ke lembah penghinaan.

Pujian dan tinggi pada mata manusia sering kali melalaikan manusia.

Bukankah ulama-ulama tasauf juga sering menasihatkan bahawa pujian boleh membawa kepada sifat riak dan takbur.

Jadi, untuk apa menjadi seorang pengamal perubatan? Anda yang sedang seperti saya tentu punya jawapannya sendiri. Tepuk dada, tanya hati, tanya iman, tanya minda. Semoga Allah sentiasa merahmati setiap langkah kalian!

TIPUAN MASYARAKAT DENGAN DUNIA

SERING KALI manusia menganggap bahawa sesetengan pekerjaan itu mulia. Tinggi darjatnya pada ‘level’ hidup. Benarkah begitu?

‘Seorang peguam lebih hebat daripada cikgu’, ‘seorang pensyarah barang kali lebih hebat daripada kerani di pejabat’, ‘seorang jurutera sudah tentu martabatnya lebih tinggi pada kaca mata manusia berbanding seorang peniaga sayur’.

Soalnya sekarang, seperti itukah pemikiran tuan-tuan, puan-puan dan anda semua? Begitukah andaian anda selama ini?

Saya suka untuk menyebut bahawa manusia seperti saya juga sudah terlalu jauh tertipu dengan permainan alam. Dunia sememangnya melalaikan. Saya tidak berseorangan kerana anda sendiri juga sering berkata demikian. Benar bukan? Dunia adalah sarang kelalaian bagi mereka yang gagal memanfaatkannya!

Manusia sering membeza-bezakan soal darjat dan ‘level’ ini lantaran mulianya taraf sesuatu pekerjaan itu.

Apabila anak perempuan hendak dilamar oleh seseorang, soalan pertama yang diaju oleh si ibu atau orang sekeliling  (kebiasaannya, tidak semestinya betul ya).

Bakal suami kau itu kerja kat mana?

Menantunya itu kerja apa?

Benar? Kalau tidak pun soalan pertama, barangkali soalan kedua atau ketiga pasti diajukan juga soalan-soalan serupa ini. Ada yang lebih dahsyat lagi, siap menetapkan syarat-syarat untuk dimenantukan. Aduhai…

Jarang kita mendengar soalan-soalan  seperti ini bukan?

Sudah berapa banyak hafazan bakal suaminya?

Bakal menantunya itu dulu belajar agama di mana? Mengajinya di mana pula?

Sudah berapa kali dikhatamkan Quran bakal suami kau tu, Long?

Jarang bukan mendengar soalan-soalan seperti ini? Kalau ada sekali pun, soalan-soalan seperti ini lazimnya akan diajukan selepas ditanyai soal pekerjaan si suami. Benar?

Sahabat-sahabat dan teman-teman saya sekalian,

Sama ada guru, petani, usahawan atau sesiapa  pun anda, baik yang Adam mahu pun Hawa, ingatlah bahawa kita ini sama sahaja di sisi Allah S.W.T. Ikhlas dan apa yang ada di hati itu jugalah adalah jauh lebih utama pada sisiNya.

Wallahua’lam.