JOHOR BAHRU 29 Jan. – Seluruh rakyat Johor berbangga dengan pemasyhuran Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Bagi rakyat negeri ini, Tunku Ismail diharap dapat meneruskan usaha ayahandanya mendekati rakyat termasuk memperkenalkan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) untuk merapatkan hubungan kerabat diraja dengan rakyat jelata.

Ketua Bahagian Persuratan dan Sejarah, Yayasan Warisan Johor (YWJ) Dzul Karnain Asmawi berkata, beliau selaku anak jati Johor memang berbangga mempunyai TMJ seperti Tunku Ismail.

Jelas Dzul Karnain, 55, pelantikan Tunku Ismail dibuat selaras Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 yang menjadi panduan sistem Kesultanan Johor dari peringkat tertinggi (sultan) hingga ke bawah (TMJ).

“Sebagai pewaris kesultanan, kami rakyat mengharapkan TMJ yang berlatarbelakangkan pendidikan yang tinggi, berdisiplin serta berkebolehan semasa menjadi Raja Muda Johor (RMJ) akan memberi kemakmuran dan pembangunan yang lebih dinamik kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas pemasyhuran Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sebagai Tunku Mahkota Johor, di Istana Besar, di sini, semalam.

SUMBER

BANGGA SEBAGAI ANAK JOHOR

SEBAGAI anak yang dilahirkan di negeri bertuah Johor Darul Takzim, sudah semestinya saya amat beruntung dengan segala limpahan rahmat dan kesenangan ketika ini.

Tidak kiralah ia datangnya daripada kepimpinan yang berkaliber atau pun rakyatnya yang sememangnya saling bertoleransi baik antara satu sama lain.

Pada saya, kita sememangnya harus berbangga dengan daerah dan negeri kelahiran kita. Baik di utara, timur, barat mahu pun di bahagian selatan. Setiap daripadanya pasti mempunyai kelebihannya sendiri. Saling melengkapi antara satu yang lain.

Mengulas kemakmuran yang dikecapi negeri kelahiran saya ini, cukup untuk saya katakan bahawa negeri Johor adalah sangat makmur dan aman semasa di bawah pimpinan Almarhum Sultan Iskandar.

Dan semestinya saya juga seperti rakyat Johor yang lain mengharapkan agar negeri makmur ini bakal terus cemerlang dan gemilang di bawah teraju Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.

Semoga Tunku Ismail Idris, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang baru juga berjaya dan dapat meneruskan kesinambungan pemerintahan negeri sebagai pewaris kesultanan Johor.