INI adalah sebuah kisah lama. Teringin pula saya mengimbas-imbas kembali ceritera ini. Sungguh mengusik memori. Kenangan lama kata orang.

KISAH BAI SI PENJUAL ROTI

KISAHNYA begini. Ketika berumurnya saya sekitar 5 sehingga 10 tahun. Dibesarkan dalam suasana yang penuh kasih dan sayang, saya merasakan segalanya cukup buat yang bernama diri. Apa yang diberi ibu, itu jugalah yang akan diterima.

Ketika petang-petang, sudah  menjadi kebiasaan saya untuk bermain-main di halaman rumah. Dan tatkala itu jugalah, si penjual roti ini akan datang dari rumah ke rumah. Berjajalah katanya. Mencari sesuap rezeki.

Waktu itu, saya diberitahu oleh ibu bahawa namanya ‘Bai Roti’ (ada juga yang menggelarkannya ‘babu roti’). Biasalah, umur pun baru sahaja hingus-hingusan. Ikut sahaja.

Bak kata orang Melayu kita, rezeki ini ada di mana-mana. Ulat celah batu pun boleh hidup. Kalau ada yang lebih puitis lagi, katanya begini pula,

Benih kalau dari baka yang baik, dicampak ke dalam longkang pun boleh hidup. Namun kalau memang benih yang tidak elok, dibaja tiap hari pun belum tentu menjadi, belum pasti menghasilkan bunga.

Ha, beginilah nasib seorang ‘bai peniaga roti’. Kalau hendak diceritakan satu persatu tentang sejarah ‘bai roti’ ini memang tidak akan ada hentinya. Dan alhamdulillah, kira-kiranya saya masih mampu mengingat rupa dan iras wajah si ‘bai roti’ ini.

Setiap petang juga ibu akan memanggil-manggil saya untuk membeli apa-apa sahaja yang dimahukan. Dalam hati ketika itu, serasa amat bertuah dikurnia ibu yang sangat penyayang dan prihatin. Ya, semua ibu pasti juga bersifat begitu.

Namun, dalam diam-diam, tatkala merenung-renung kembali saat itu, sendirinya saya tersentuh. Apa mungkin si ‘bai roti’ ini masih seperti itu?

KONSEP REZEKI DAN HARTA

RAMAI manusia menyangkakan bahawa pekerjaan yang hebat-hebat selalunya bermula dengan yang hebat-hebat juga. Masa depan yang cerah lazimnya disinonimkan dengan gulungan sijil yang teramat sangat banyaknya. Adakah begitu? Beginikah perumpamaannya?

Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. – (Al-Anfal : 24)

Sesungguhnya setiap apa yang berlaku kepada kita sudah ditentukan. Telah pun wujud sejak azalinya lagi. Namun, sebagai manusia, kita berhak serta diberi jaminan seratus peratus oleh Allah SWT untuk mengubah nasib kita. Anda, saya dan kita semua punya hak!

Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang berusaha untuk mengubahnya.

PERMASALAHAN DALAM MENENTUKAN SOAL TAKDIR DAN KETENTUAN.

NAMUN, ada pula yang lantas dan cepat-cepat menyalahkan takdir. Katanya, ketentuan itu sememangnya telah ditetapkan oleh Maha Pencipta sejak dahulu lagi.

Yalah, Allah juga bukankah sudah berpesan bukan. Dalam Al Fath, ayat 23. FirmanNya,

Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.

Pesan Allah ini menunjukkan bahawa manusia itu tidak boleh mengubah hukum alam. Mengertikan bahawa ketidakmampuan kita sebagai manusia untuk melawan tradisi Allah dalam melaksanakan ketetapanNya sebagai Rabb yang terlaksana di alam semesta.

Ya, takdir itu sudah memang ketentuan. Suatu yang tetap dan sering kali dilihat suatu yang  tidak boleh diubah. Pertukaran siang dan malam memang tidak boleh diubah. Peredarannya bumi mengelilingi cakerawala juga tidak bisa untuk disangkal lagi. Allah sahaja Maha Berkuasa, Maha Bijaksana!

Namun, apakah kita sebagai manusia telah tahu akan sesuatu takdir itu sebelum berusaha? Apakah celik-celik mata sahaja manusia akan tahu bahawa dia akan terpelosok ke lurah air? Adakah sebaik sahaja menutup lampu kamar bilik, manusia sudah tahu bahawa mimpinya pada malam itu adalah tentang itu dan tentang ini? Benarkah begitu?

Allah itu Penentu segala. Manusia juga yang berusaha. Allah benci makhluk yang enggan merobah hidupnya. Mahu menyerah takdir? Usaha pula melawan takdir? Terserah, kerana Allah Maha Melihat, Maha Mengetahui setiap apa yang ada di hati setiap makhluk penciptaanNya.

Siapa pun kita hari ini, hari esok belum tentu menjanjikan kita yang seperti hari ini. Hari ini mungkin kita hebat, esok belum tentu dikurnia nikmat kehebatan itu olehNya buat kita.

Buatlah kerja dunia seakannya hidup kita ini selama-lamanya. Amalkanlah ibadah akhirat seolah matinya kita ini esok.

Jadilah seperti rumput, jangan jadi seperti ilalang! Di mana pun jua kita berada, kita mampu untuk terus hidup. Ceria dan gembira. Siapa sangka ‘bai roti’ di zaman kanak-kanak saya itu sudah bergelar usahawan terbilang sekarang. Siapa percaya kalau dia hari ini mungkin sahaja sudah menjadi jutawan?

Percayalah pada Qada’ dan Qadar. Berusaha jugalah sebagai tuntutan seorang hamba. Allah menentu, manusia merancang!