KUALA LUMPUR: Selepas pelakon Fasha Sandha dijadikan tempat luahan rasa amarah pihak tertentu menerusi laman sosial Facebook, kini Suhaiza Suhaimi atau Memey turut ‘diserang’ menerusi akaun ‘We Hate Memey Suhaiza’ (Kami benci Memey Suhaiza). Menggunakan gambar profil tangan memegang gambar Memey sedang terbakar, akaun itu setakat malam tadi mengumpulkan 415 individu berbanding 296 orang petang kelmarin dengan hampir semua komen negatif dilemparkan terhadap pelakon itu.

Selain We Hate Memey Suhaiza, ada satu lagi akaun sama iaitu I Hate Memey Suhaiza (Saya benci Memey Suhaiza) yang turut mengumpulkan pengguna Facebook supaya membenci pelakon itu.

Memey, 22, yang dihubungi mengakui mengetahui mengenai akaun Facebook itu tetapi mengelak daripada membukanya kerana tidak mahu hatinya terguris.

“Saya tahu mengenai I Hate Memey Suhaiza daripada rakan kira-kira dua bulan lalu, tetapi We Hate Memey Suhaiza, saya rasa masih baru.

“Saya cuba elak daripada membuka kedua-dua akaun itu sebab tidak mahu ia mempengaruhi perasaan saya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu memikir atau mengambil berat mengenai komen negatif yang dilemparkan kepadanya selagi ia tidak menjejaskan karier serta kehidupannya.

“Biarlah apa mereka hendak cakap atau komen mengenai saya, sebab mungkin dengan meluahkan rasa marah itu, ia melupakan masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Memey berkata, amat sukar untuk memuaskan hati semua pihak, tetapi dalam masa sama tidak mahu melayan perbuatan individu yang membuka akaun Facebook semata-mata kerana marahkan dia.

“Kalau difikirkan, saya rasa hendak tergelak pun ada kerana pihak itu rajin membuat semua ini disebabkan mahu meluahkan perasaan mereka,” katanya.

Pada Ahad lalu, Metro Ahad melaporkan Fasha Sandha menjadi mangsa serangan pihak tertentu yang mengumpul pengguna akaun I Hate Fasha Sandha (Saya benci Fasha Sandha) di laman sosial, Facebook.

(SUMBER)

BUKAN mahu memperbesarkan isu yang sudah sedia ada. Tidak juga menyebelahi mana-mana pihak. Namun, sebagai rakyat Malaysia yang sudah sedia matang, bijak dan arif dalam setiap tindakan, maka bertindaklah juga dengan cara yang matang. Hidup jugalah cara orang dewasa.

Apakah menjatuhkan maruah orang lain dikira baik pada mata orang. Apakah itu  dikecualikan daripada dosa dan nista?

Cukuplah salah dan silap orang, jangan kita juga menambah-nambahnya kepada diri sendiri.

Siapa kita untuk menghukum. Hanya Dia sahaja yang herhak ke atas segalanya!