PERNAH mengalami ketuat? Ketuat atau pun kutil boleh dianggap biasa di kalangan rakyat negara kita. Namun jika ianya dibiarkan begitu sahaja, sudah tentu ianya boleh memudaratkan.

Kutil dan ketuat yang tumbuh pada jari kaki

Kebiasaannya kewujudannya pada awalnya tidak disedari oleh pesakit, namun setelah ianya disedari oleh pesakit, kebanyakan daripada mereka merasa kurang selesa dengan kewujudannya, khususnya yang muncul di kawasan-kawasan yang umum.

Ketuat ini kebiasaannya bermula dengan tompok kecil yang agak kasar pada  kulit sebelum ianya disedari oleh pesakit.

PUNCA JANGKITAN

MENURUT Perunding Dermatologi, Pusat Perubatan Pantai Cheras, Kuala Lumpur, Dr. Ruban Nathan, “Kutil dan ketuat terjadi disebabkan virus papiloma manusia (HPV). Ada juga yang bukan disebabkan virus iaitu kutil seborrhoeic yang biasa terjadi pada kulit wajah,”

Kutil yang tumbuh di bahagian umum sering menimbulkan kurang senang pada pesakit

KETUAT KELAMIN?

WALAUBAGAIMANAPUN, bagaimana pula dengan ketuat di bahagian kelamin?

Kemunculan ketuat ini akan lebih membimbangkan pesakit sekiranya ia tumbuh di bahagian alat sulit. Ketuat atau kutil yang tumbuh di bahagian ini dinamakan sebagai condylomata acuminata ataupun venereal.

Menurut Dr Ruban lagi, “Ketuat alat kelamin, misalnya yang tumbuh pada kepala dan pangkal zakar, merupakan salah satu daripada penyakit yang merebak melalui hubungan kelamin (STD). Ia boleh mengganggu perhubungan intim antara pasangan suami isteri.

“Pada masa yang sama, risiko jangkitan boleh meningkat di kalangan mereka yang aktif melakukan hubungan seks berbilang pasangan,” jelasnya.

RAWATAN

BEBERAPA kaedah rawatan boleh dan biasa dijalankan. Antara yang biasanya diterima oleh masyarakat ialah penggunaan produk topical seperti podophyllin, asid salycilic yang bersifat ‘membakar’.

Selain itu, pembedahan kecil juga boleh dilakukan dengan memanfaatkan teknologi sejuk beku. Kryosurgeri dan penggunaan nitrogen cecair boleh membantu mematikan sel ketuat dengan pencapaian suhu dingin melampau.

Pembedahan kecil untuk membuang ketuat

Ketuat juga boleh dirawat dengan menggunakan kaedah laser yang disifatkan sebagai pilihan yang paling efektif. Ini kerana, pembuangan sel-sel ketuat boleh dilakukan dengan pantas dan mudah kerana laser yang dijana dengan karbon dioksida (CO2) itu mampu bertindak secara tepat ke atas ketuat.

Lagi maklumat tentang ketuat, klik sini.