BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM…

 SULTAN Johor, Sultan Iskandar Al-Marhum Sultan Ismail mangkat di Hospital Pakar Puteri, jam 7.15 malam tadi, selepas hampir tiga dekad memerintah Johor.

 Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Jenazah Al-Marhum Sultan Iskandar akan disemayamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah jam 2 petang esok.

 Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, Tengku Mahkota Johor  akan dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada jam 1 petang di Istana Besar esok.

Sultan Iskandar diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Al-Marhum baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Baharu sebelum menyambung pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu. Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England.

Baginda kembali ke Johor setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956 dan kemudiannya berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor.

Pada 8 Mei 1959, Baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Johor berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.

Baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda Pada Disember 1966. Sultan Iskandar juga melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Baginda menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados-Cito-Daiken dan Mados Enterprises.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden pada 11 Mei 1981 dan juga pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989.

p/s Moga ALLAH S.W.T sentiasa mencucuri rahmat terhadap Almarhum Baginda.

AL-FATIHAH….