KELDAI, donkey, mahupun himar. Kesemuanya membawa pengertian yang sama. Bagi masyarakat Mesir, penggunaan haiwan ini dalam kehidupan seharian adalah amat meluas. Daripada menjadi haiwan tunggangan sehinggalah kepada mengangkat apa jua barangan niaga. Aduhai, betapa besar jasa si himar ini.

Bab* kau, gua tak puas hati betullah!

Suasana di negara kita sememangnya amat sinonim dengan penggunaan ayat seperti di atas. Sungguh kesat, keji dan tersangatlah rendah nilai bahasanya.

Di Mesir, lain pula bunyinya. Ungkapan babi itu biasa sekali digantikan dengan sebutan himar. Andai mampu diterjemahkan oleh saya di sini, lebih kurang beginilah bunyinya:

Himar kau, gua …. !

Setiap tempat punya budaya serta corak hidup yang berbeza. Bolehkah anda terserempak barang sekali pun seekor ayam tiba-tiba sahaja melintas di tengah-tengah jalan raya ibu kota? Pernah pula anda berkesempatan untuk melihat  seekor lembu dengan selambanya berhenti di tengah-tengah kesibukan bandaraya?

Haha. Lucu bukan (Di sini, suasana seperti itu sudah dikira biasa untuk dijumpai).

Kita terkadang itu lupa untuk belajar banyak perkara. Tuhan sengaja menciptakan kepelbagaian dalam hidup. Untuk apa? Agar semua hamba-hambanya menilai dan menghargai setiap ciptaan unik Allah S.W.T.