DINGINNYA hembusan angin seakan sengaja menghangatkan aroma kenikmatan saya dalam mencari-cari apa yang dikata sebagai diri. Ya, terkadang itu saya sendiri terfikir, dalam merenung-renung kembali kepada apa yang telah dan kian berlaku tatkala ini, persoalan ini sering kali mengincak-incak untuk menerobos masuk ke dalam fikiran saya.

Apa yang dikata sebagai mainan hati?

Manusia selalu condong dan cenderung untuk mengaitkan persoalan naluri ini dengan aliran jejak yang akan dituju selepas itu. Sering kali mahu merasakan bahawa ianya adalah suatu tiupan buat kita sebagai seorang yang bernyawa untuk meneladaninya. Tidakkah pernah kita sedar bahawa itu terkadang sengaja menggiringkan anak-anak Adam ke jihat yang tidak menentu?

Dunia ini penuh dengan rencaman tipu, helah dan corak-corak yang cukup indah. Mahu dihayati setiap satu daripadanya? Ah, sudah pasti, tidak cukup sekalian waktu yang diberi. Allah itu Esa, satu, dan Dia juga yang merajai sekalian praja alam! Sudah termaktub juga bukan, bahawa sekalian manusia ini tidak akan terhitung dengan banyaknya nikmat pemberian dariNya.

Allahuakbar! Hebat dan Besar sungguh kuasa dariNya.

Tatkala tulisan ini ditulis, gerakan jarum panjang di sebelah saya kian menganjak ke angka sembilan. Si pendeknya pula  masih terkial-kial di angka sebelas sedari tadi. Aduhai, pantas benar kau bergerak. Berjalan dan terus berjalan. Meniti cabaran dan ruang sempadan tanpa henti, tiada pernah mengundur.

Huh!

Sunyi dan indahnya alam yang kelam tatkala ini, membuatkan saya tersenyum. Aduhai, beruntung sungguh buat yang bernama diri. Lahir-lahir, sebaik sahaja mencelikkan kedua-dua mata ini sudah juga diberi hadiah. Subhanallah, terima kasih meniupkan roh buatku mengabdikan seluruh jasad padaMu!

Sekilas  saya mengandaikan, betapa terkilannya jiwa yang busuk ini andainya ditarik barang sedikit pun nikmat daripada yang bernama diri. Sungguh masih wujud andang buat saya menjadi khalifah terbaik milikNya.

Ya Allah, Ya Rab…

p/s saya amat tersentuh sebaik membaca tentang kematian  Muhamad Muda, 58 dari Kampung Kubang Panjang ketika tertidur di dalam bas yang dalam perjalanan dari Kedah ke Terengganu. Mudah sungguh caranya meninggalkan kita. Esok, lusa, barangkali sebentar lagi  kita  yang bakal dijemputNya.