ENTRI ini adalah sedikit berbaur rasa ‘perkauman’ atau ‘individual’ sekiranya ada yang memilih untuk beranggapan sedemikian. Namun, tidak kurang juga ini adalah sebuah tulisan info ilmiah bagi yang mahu mengetahui.

Maaf, kali ini saya bakal menterjemahkan ayat-ayat yang kurang tersusun. Sengaja mahu mencetuskan gurau dan senang di hati.

Anda kembar?

Ya, mana-mana pembaca setia di SangMentari atau pun kenalan rapat saya, sudah tentu mengetahui mengapa soalan ini yang saya ajukan.

Memegang status ‘kembar’ ini sememangnya bakal berhadapan dengan pelbagai kenangan manis, suka dan lucu yang tidak akan ada henti bicaranya. Haha. Tentu sahaja bakal dikenang sehingga ke anak cucu. Banyak sungguh kenangan dilalui!

Dan kerana status kembar itu jugalah, saya pernah suatu ketika memegang lesen memandu L dengan menggunakan gambar yang sama dengan kembar saya. Dan lesen itu masih saya simpan sehingga ke hari ini!

Ini tidak termasuk banyak lagi gambar-gambar dan kad-kad identiti lain yang sering kami ‘putarbelitkan’ dalam keadaan-keadaan tertentu. Ingat ya, bukan mahu menipu. Hanya di kala darurat sahaja.

Pernah sewaktu kami di tingkatan dua, bermain badminton acara beregu pada suatu kejohanan badminton. Bermula dari pusingan pertama, kedua dan sehinggalah ke peringkat separuh akhir, kami berjaya mengelirukan pengadil. Setiap kali servis diambil dan diterima pula daripada pihak lawan, kami langsung tidak pernah menukar posisi kedudukan di atas gelanggang. Dan ternyata tiada siapa pun yang  mengetahui perkara ini hingga ke saat ini lantaran irasnya rupa kami sewaktu itu.

Tidak cukup dengan itu, si kembar-kembar ini juga biasanya akan menggunakan kelebihan yang mereka ada untuk mencapai suatu impian dan keinginan yang mereka mahukan. Dan saya sendiri sudah lali dan biasa melaluinya.

Sewaktu di tingkatan empat, saya sendiri gagal untuk menempatkan diri di sekolah impian saya ketika itu. Dan hanya memegang status kembar saya berjaya menempatkan diri di sekolah tersebut walaupun sebenarnya saya langsung tidak mencapai kelayakan minima ke sana. Alhamdulillah, saya berjaya mengakhiri zaman sekolah saya dengan noktah ceria di situ.

Terima kasih Tuhan, terima kasih juga kepada mereka yang membantu saya ke sana.

Dan peristiwa seperti ini berulang lagi sewaktu di tahun pertama kuliah perubatan di Mesir. Saya di Ain Shams University, walhal si kembar seorang lagi di Cairo University. Sekali lagi, status kembar membantu kami. Kami berjaya ditempatkan di universiti yang sama walaupun setelah hampir 2 bulan lewat ke kuliah.

Kesudahannya, kami masih bersama. Belum pernah terpisah. Bermula di Tabika Kemas Kampung laut. Kemudian ke Sekolah Kebangsaan Sekudai Batu 10, Sekolah Menengah Tasek Utara, Kolej Islam Sultan Alam Shah dan akhirnya kini di Mesir. Kami masih meneruskan pengajian di bidang dan tempat yang sama. Mungkin ini memang sudah cantik disusun dan diatur olehNya.

Kepada semua pembaca di SangMentari, termasuk juga mana-mana pasangan kembar di luar sana, sama-samalah kita mensyukuri nikmat Tuhan ini. Semoga kita semua menjadi lebih berjaya dan cemerlang dengan setiap aturan hebat milikNya.

Allah mentakdirkan, namun manusia yang mengusahakannya!