DALAM melalui hari-hari yang penuh berliku, manusia setiap saat pastinya berdepan dengan rasa dan sifat yang menjauhkan mereka daripada pengaruh kuasa akal mereka.

Ya, manusia kekadang itu terlalu mengikutkan paksaan dan tujahan perasaan yang terkadang itu sengaja menggiring manusia ke arah kejatuhan, kemeruduman nilai dan peribadi seseorang itu.

Kehebatan dan kecemerlangan seseorang itu sejujurnya dipaksi dan dinilai pada sejauh mana mereka mampu untuk mengawal emosi mereka tatkala jiwa sedang diamuk badai perasaan. Tatkala itu nilai ketinggian seseorang itu bakal terlihat dan ternilai.

Selalu sangat manusia mengatakan bahawa hebatnya seseorang itu lantaran hebatnya mereka berkata-kata dan berhujah di khalayak ramai. Hebatnya juga seseorang itu juga sering dikaitkan dengan tingginya nilai dan taraf pendidikan seseorang itu.

Namun, pernahkah anda terfikir bahawa sejauh mana unggulnya peribadi dan harga seseorang itu seharusnya dilihat dari luar dan dalam, meliputi zahir dan batin.

Borhan si penggali kubur itu mungkin dilihat biasa-biasa sahaja di kalangan masyarakat sekitar. Ada juga yang langsung tidak memandang kewujudan si Borhan ini lantaran butanya pandangan mereka terhadap si penggali kubur ini.

Yalah, apalah sangat si penggali kubur jika hendak dibandingkan dengan seorang usahawan, peguam atau pun setidak-tidaknya seorang kerani.

Namun, pernahkah kita melihat bahawa si Borhan inilah sebenarnya seorang wira dan manusia yang paling hebat di kalangan penduduk di kawasan kampungya. Pernahkah kita bayangkan apabila suatu hari nanti tatkala tibanya ajal Borhan apabila usianya menjengah senja, apakah akan terjadi kepada penduduk di kampungnya? Di mana harus dicari ganti si Borhan penggali kubur itu?

Justeru, sebagai manusia yang seharusnya celik dalam menilai sesuatu perkara dan tindakan, kita seharusnya lebih bijak untuk menilai sumbangan dan sikap seseorang itu. Usahlah kerana pekerjaannya sahaja yang kekadang itu seolah tiada tempat di mata masyarakat, kita mudah pula untuk membutakan pandangan ke atas mereka.

Jadilah manusia yang bijak dalam mengawal kecemerlangan kita. Carilah mereka yang benar-benar bermanfaat kepada kepada kita. Moga suatu hari nanti mereka mampu membantu kita tatkala dirudum dan ditimpa kesusahan.