HARI ini ada yang berduka, ada yang bersuka dan tidak kurang ada juga yang terlalu gembira tidak terkata. Bagi mereka yang memperoleh keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tahniah saya ucapkan kepada yang berjaya. Buat yang gagal cuba lagi di peperiksaan mendatang.

Gagal? Wujudkah ungkapan ini sebenarnya? Apakah kegagalan seseorang itu di dalam sesuatu peperiksaan itu sudah dikira menutup semua peluang-peuang mereka di masa hadapan?

UPSR bukanlah apa sangat, adik-adik. PMR ada, SPM pun ada lagi. Paling tidak pun, STPM juga sentiasa menanti. Banyak lagi peperiksaan yang bakal ditempuh. UPSR hanyalah langkah awal untuk adik-adik semua terus maju ke hadapan.

Tidak dinafikan bahawa ramai murid-murid yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, 5A di dalam UPSR akhirnya berjaya menjadi orang yang cemerlang pada hari ini. Namun, betapa jauh lebih ramai lagi anak-anak yang dulunya tidak cemerlang semasa di peringkat UPSR namun telah berjaya juga pada kerjaya mereka hari ini.

Manusia biasanya akan belajar daripada kegagalan dan kesilapan mereka. Tidak ditimpa kegagalan, kekadang manusia itu terlalu leka dengan deretan kesenangan dan kejayaan. Justeru kegagalan itu sendirinya perlu untuk difahami bahawa salah satu lorong untuk menuju ke mercu kejayaan.

Lebih 10 tahun lalu, orang ramai,saudara-mara pernah mengatakan kepada saya bahawa saya telah gagal dalam hidup.  Saya mengecewakan kedua-dua orang yang amat saya sayangi. Namun dengan kegagalan itu, saya cuba untuk memahami bahawa setiap kegagalan yang diberi Tuhan memang sengaja untuk menjadikan kita seorang manusia yang jauh lebih hebat. Dan alhamdulillah, Allah mudahkan urusan saya sehingga ke hari ini.   

Justeru adik-adik, apapun keputusan yang diperoleh pada hari ini, anggaplah ianya sebagai ujian dari Allah. Kejayaan itu sebenarnya adalah ujian dariNya untuk kita terus berjaya pada masa mendatang. Kegagalan pula adalah sengaja untuk melihat sejauh mana kita mampu bangkit pada ujian-ujian hidup yang seterusnya. Selamat maju jaya!