DALAM kita hangat memperkatakan tentang negara-negara yang sibuk bersaing dalam merebut tempat dalam play-off ke pusingan akhir Piala Dunia Afrika Selatan 2010, saya tertarik untuk merungkai dan mengheret suatu isu yang lebih tepat sebenarnya untuk kita bicarakan. Di mana pasukan kita, Malaysia ketika ini?

Ya, negara yang suatu ketika dulu cukup digeruni di rantau Asia kini hanya menghuni ranking ke-150 dunia, menjadi keldai belasahan. Mengapa boleh jadi sampai begini?

Pelbagai pihak dan organisasi cuba untuk dipersalahkan dalam mencari punca kejatuhan pasukan bola sepak negara kita. Dan yang paling kerap dituding sudah tentu badan induk bola sepak paling besar negara kita, FAM.

Bukan mahu meyalahkan dan mengeruhkan lagi keadaan, namun sekadar mahu membuka mata semua pihak. Mungkin selama ini pihak-pihak yang bertanggungjawab kurang untuk menerima dan mendengar buah fikiran dan pendapat orang ramai. Atau mungkin juga, suara-suara orang luar lambat untuk sampai kepada mereka.

Isu ini bukannya isu individu, namun ianya menyentuh isu sebuah negara, maruah dan nama baik tanah air kita sendiri.

Saya mudah untuk menyebutkan beberapa kelemahan dan faktor yang boleh dijadikan sebab kemeruduman prestasi pasukan bola sepak kebangsaan kita ketika ini.

1)      Kurangnya pendedahan peringkat antarabangsa di kalangan pemain-pemain kebangsaan kita. Saya kira penyelesaian yang paling mudah untuk menjawab permasalahan ini ialah dengan menghantar seberapa banyak pemain kita untuk bermain di luar. Pendedahan yang mereka peroleh di sana sudah tentunya dapat memberi impak yang cukup besar kepada corak permainan pasukan negara kita. Kita tidak pernah kurang pemain-pemain yang mampu menyinar, cuma bakat mereka sahaja yang masih kurang digilap.

Dengan hanya bermain di dalam liga tempatan, pemain-pemain kita tidak akan mampu pergi lebih jauh. Mereka akan terus mengamalkan sistem dan corak permainan yang sama dimainkan oleh pemain-pemain terdahulu dan senior-senior mereka. Sampai bila kita mahu berubah? Dan saya kira isu ini harus mengheret saya untuk menyebut punca kedua kejatuhan bola sepak kebangsaan kita.

2)      Kurangnya bantuan kewangan daripada badan-badan swasta dan syarikat-syarikat besar dalam membuat tajaan. Ya, perkara ini jelasnya menjadi faktor utama akan kepada kurangnya pemain-pemain kita yang dihantar keluar negara. Tidak dapat dinafikan, penghantaran pemain-pemain keluar negara memerlulan modal dan sumber kewangan yang cukup besar, namun kita tidak boleh terlalu bergantung harap kepada kantung FAM. Harus diingat FAM hanyalah sebuah badan yang harus menguruskan pelbagai aktiviti dan perkembangan sukan nombor satu negara kita ini, bermula daripada akar umbi. Justeru seharusnya semua pihak wajar membuka mata mereka lebih luas.

Sektor-sektor swasta seharusnya lebih peka kepada masalah ini. Kita sendiri boleh melihat betapa banyak syarikat-syarikat gergasi Malaysia ketika ini di seantero dunia, jadi apa salahnya semua pihak tersebut berganding bahu untuk sama-sama menaikkan kembali nama dan martabat pasukan bola sepak negara kita. Ibarat kata orang belilah barangan buatan Malaysia, sebuah konsep yang sama sahaja dengan isu yang saya bahaskan ketika ini… “tolonglah negara kita, Malaysia!”

3)      Masih kurang pembangunan bola sepak di negara sejak dari akar umbi. Berdasarkan pengamatan saya, saya melihat bahawa sistem untuk membangunkan dan mencari bakat-bakat muda di negara kita telah sedia ada. Sekolah-sekolah sukan telah lama diwujudkan, akademik-akademik pembangunan bola sepak juga telah lama dibuka di hampir seluruh negeri. Namun, apa yang masih kurang ialah kurangnya langkah penyusulan daripada proses perkembangan ini.

Saya suka menyentuh perkara ini kerana kebanyakan pemain-pemain yang telah berjaya dikenalpasti berpotensi untuk masa hadapan, gagal untuk meneruskan rentak persembahan konsisten mereka. Dan kerana itulah kita sendiri boleh melihat, betapa wujud pemain-pemain akademik bola sepak negara kita yang akhirnya berakhir dengan kegagalan. Tidakkan kita telah membazirkan sebuah mutiara yang sememangnya hanya menanti untuk dikutip.

4)      Pengambilan pemain import juga seharusnya diambil serius. Bukan mahu menidakkan kemampuan pemain-pemain kebangsaan sedia ada, namun pengambilan pemain import yang berkualiti harus dititikberatkan. Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan langkah pemansuhan pengambilan pemain import. Kita seharusnya mengorak langkah ke hadapan. Pandanglah sekeliling. Semua liga-liga profesional yang hebat juga menarik beberapa ramai pemain import yang hebat. Jangan selalu mengatakan bahawa pengambilan import ini bakal mengurangkan tempat dan peluang pemain-pemain tempatan dalam kesebelasan utama pasukan, kerana pengambilan pemain-pemain import ini jelasnya bakal mewujudkan saingan yang cukup sihat buat pemain-pemain kita untuk merebut tempat.

Masalahnya, kita sering merendahkan kemampuan pemain-pemain kita untuk bersaing dengan pemain-pemain luar. Sering menganggap pemain kita akan ketinggalan dan tidak mampu menandingi ke mampuan pemain-pemain import. Bukankah jauh lebih baik andainya kita sendiri memberi galakan dan perangsang kepada pemain-pemain kita agar mereka berusaha untuk bersaing dengan pemain-pemain import. Suka untuk saya ulangi bahawa liga yang hanya mengandungi pemain-pemain tempatan terlalu sukar untuk menjadi pentas dan medan untuk pemain-pemain kita meningkatkan lagi prestasi. Pemain import harus  ada bagi dijadikan role model dan idola bagi pemain-pemain kita.

5)      Kurangnya tenaga-tenaga pakar dari luar. Kita masih terlalu mengharap kepada tenaga-tenaga tempatan untuk membimbing pasukan negara kita. Saya tidak gemar untuk mengatakan bahawa jurulatih-jurulatih tempatan kita kurang hebat berbanding daripada jurulatih luar. Kita masih tidak ketandusan jurulatih-jurulatih tempatan yang hebat, cuma jika kita memandang jauh sedikit ke luar, apakah mereka masih menggunakan jurulatih tempatan untuk membimbing pasukan negara kita. Lihat sahaja Thailand yang saban tahun menggunakan khidmat jurulatih import untuk membimbing pasukan kebangsaan mereka. Beberapa nama-nama hebat pernah membimbing mereka seperti Peter White, Boby Robson dan jelasnya prestasi pasukan kebangsaan mereka semakin meningkat dan telah jauh meninggalkan negara kita di belakang. Mengapa tidak kita mengambil ini sebagai contoh? Dan bahkan banyak lagi negara-negara yang menggunakan jurulatih-jurulatih import untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan mereka.

Bantulah pasukan kebangsaan kita. Tidak kita, siapa lagi. Semoga semua pihak dapat membuka mata, celikkan hati masing-masing. Kita mampu sebenarnya untuk pergi lebih jauh. Semoga terus berjaya!