ikhlas dalam mengejar cita

MASALAH dan kesukaran sering kali membuka peluang. Tidak diberikan keperitan itu kepada hamba-hambaNya melainkan menanti di sana nanti kesenangan yang dijanjikan. Tidak di dunia, di akhirak kelak sudah pastinya.

Usah menganggap bahawa malang dan penghidupan yang derita hari ini adalah juga gambaran kita pada masa akan datang. Jangan sekali-kali meratapi kesulitan yang dihadapi lantaran kuatnya nafsu untuk mencapai sesuatu yang lebih besar. Jangan yang dikejar-kejar tidak kesampaian, yang dikendong dan digenggam akhirnya keciciran.

Kalaulah anda ketika ini hanya berjawatan kecil sahaja di sesebuah syarikat, bukankah elok jika anda memasang impian dan angan untuk berusaha agar berjaya menjadi CEO atau pengurus besar di syarikat itu? Tidakkah memasakkan angan yang kukuh dan mapan untuk bergelar usahawan terulung itu dikira cukup  hebat jika anda ketika ini adalah seorang pekerja bahawan.

Bukankah juga sangatlah mulia jika hari ini anda adalah seorang guru dan pendidik biasa, namun memasang impian untuk memiliki sebuah pusat pendidikan sendiri suatu masa nanti demi melihat lebih ramai anak-anak yang mendapat peluang pelajaran?

Tidakkah kesemua yang saya sebutkan tadi adalah jalan-jalan dan cabang yang Allah telah lama buka untuk kita semua sebagai manusia fikir-fikir dan renung-renungkan. Mengapa memilih jalan yang singkat untuk berjaya? Kejayaan dan kemewahan itu bukan hanya diukur dan dicapai dalam masa yang singkat.

Apa yang susah pada hari ini bukannya kegagalan, namun adalah saham pengalaman yang kita sedang laburkan untuk dituai hasilnya pada masa mendatang.

Ya, mungkin hari ini anda melihat rakan anda bekerja di sebuah syarikat terkenal antarabangsa. Gajinya pun mungkin beribu-ribu, berganda-ganda daripada apa yang anda miliki ketika ini. Namun, tidakkah anda sedar bahawa nikmat yang diperolehinya itu adalah datangnya dari Allah, sama sahaja dengan apa yang anda perolehi. Bezanya cuma nilai pada pandangan mata manusia. Hari ini dia mewah, esok lusa siapa tahu?

Kejayaan yang dikecap sebenarnya banyak dicapai melalui pengalaman dan kegagalan. Mahu ke puncak, tidak boleh terus sahaja melompat ke atas. Perlu meniti dan mendaki jutaan halangan serta cabaran sebelum berjaya sampai ke sana. Mana mungkin si bayi itu terus sahaja berlari tanpa melalui tempoh untuk belajar berdiri dan berjalan. Hakikatnya, tiada jalan singkat untuk berjaya.

Sabarlah dalam melalui hari-hari kita. Ikhlaskan niat dalam melaksanakan sesuatu itu. Ingat kembali tujuan asal dan janji kita sewaktu penciptaan kita di atas muka bumi ini. Abdikn diri pada Tuhan dan buatlah manfaat sebanyak mungkin. Semoga dengan itu, diluaskan pintu rezeki untuk kita.

Rezeki ada di mana-mana. Usah terlalu cepat mengejar yang di atas, sedang yang sudah digenggam itu sendirinya sedia menanti kemewahan suatu hari nanti.

Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan sudah dicurahkan.  Langit yang tinggi cuba-cuba untuk ditampar, sedangkan bumi dipijak belum tentu dicapai.