kenapa marah-marah

MENGAPA kita selalu marah-marah? Salah sedikit, marahnya bukan main. Kalau sendiri punya silap tidak tahu. Namun, jika salah itu pada pihak lain, wah.. bukan main melentingnya!

Realitinya anda, kalian dan juga saya tidak terlepas daripada sifat ini. Saban waktu kita berdepan dengan pelbagai konflik dan masalah hidup. Yalah, sudah lumrahnya alam. Hidup mesti berdepan dengan berjuta halangan dan rintangan. Barulah namanya sebuah penghidupan.

Soalnya di sini, mengapa perlu marah-marah? Apa sebenarnya yang membuatkan kita selalu hilang kawalan dan mudah untuk merasa marah?

Menurut William Lee di dalam The Angry Teenager, Nashville: Thomas Nelson, 1995, kemarahan ini adalah berpunca daripada apabila sesuatu kemahuan dan kehendak itu tidak dapat dicapai.

Menurutnya lagi, punca kemarahan ini juga adalah bergantung kepada peringkat umur individu itu sendiri.

Baiklah, kenapa anda sering berasa tidak selesa? Serasa mahu sahaja menjerit-jerit tatkala jiwa sedang bergolak? Mengapa ya?

Bagi golongan peringkat umur kanak-kanak, punca utama kemarahan mereka ialah apabila kurangnya perhatian daripada ibu bapa. Bagi golongan remaja pula kehilangan kebebasan yang diperolehi oleh mereka menjadi faktor utama kepada sifat marah ini.

Buat para dewasa pula, mereka lebih terdorong untuk merasa marah dan tidak selesa lantaran tekanan serta bebanan hidup seperti kemiskinan dan juga kesusahan.

Menururt Rebecca R. di dalam Methods for a Happier and Healthier Life, kebanyakan daripada manusia menyelesaikan dan menghadapi konflik marah ini dengan cara yang agresif.

Dan akibat daripada cara yang salah untuk menghadapi konflik ini, permasalahan yang pada awalnya kecil akan menjadi bertambah rumit dan semakin sukar untuk diselesaikan.

Justeru sebagai makhluk yang hebat dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan akal yang cukup bijaksana seharusnya juga kita menggunakannya dengan sebaik-baiknya. Tatkala hendak marah itu ingatlah bahawa marah itu sifatnya syaitan. Dan bertenang-tenang itu jugalah sifat yang dituntut agama.

Marah itu api, sejuk itu damai!