cinta sejati hanya datang dariNya

DI KALA hati mula gelisah, maka timbul gejolak yang menggiring jiwa-jiwa kita ke tuju yang dipandu. Soal keburu atau tidaknya pilihan itu adalah berlandas sejauhmana hati ini diisi dengan nilai-nilai islam dan rohani yang jitu di dalam hati.

Usah menjadikan diri bodoh dan alpa lantaran cinta. Jangan sesekali memandukan kasih itu sebagai hadaf misi utama hidup. Persetankan semua itu! Cinta boleh memusnah, sayang juga mampu menghancur porak-perandakan apa yang telah dikecap sekian lama.

Dalam kekeringan iman, kenipisan jati diri yang semakin terhakis, manusia kian mudah untuk berasa lemah dengan semua ini. Adakah cinta ini menjadikan kita sebagai manusia resah? Membuatkan hati-hati insan semakin kelesah? Sudahnya, mengapa Tuhan Maha Pencipta ini menzahir dan menghadiahkan aura cinta ini ke atas nubari setiap anak-anak Adam?

___________________________________________________________

“Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu.” (Imam Nawawi)

___________________________________________________________

Sememangnya kita yang bergelar status hamba, seorang manusia khalifah muka bumi yang amat lemah. Mudah diheret-heret ke lembah yang sering menyesatkan kita. Hawa nafsu acapkali menguasai diri. Bila kuasa iblis ini sudah tidak langsung dibendung, maka jangan mudah menguar-uarkan bahawa cinta ini harus wajib ada pada setiap anak cucu Adam dan Muhammad S.A.W.

Cinta itu perlu ada namun jangan sampai ia menguasai diri! Sayang kekadang memberi kekuatan. Kasih pula seringkali memberikan sesuatu untuk dibuktikan! Namun cinta, kasih dan sayang itu juga mudah untuk dijadikan alasan buat kita merasa hanyut dan terus pergi dengan tipuan ciptaan rekaannya sendiri!

Carilah cinta hakiki dariNya kerana Dia juga yang berhak untuk diagung dan merasa dicintai. Cinta kasih dan sayangilah sesiapa pun, namun ingatlah hanya cinta padaNya jugalah yang kekal badi! Kekal ke hembusan nafas terakhir!

Renung dan kembalilah semula kepada pesanan daripada Al-Imam Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah,
____________________________________________________________

“Tidaklah aku merasa hairan terhadap sesuatu seperti kehairananku ke atas orang yang tidak menganggap cinta dunia sebagai sebahagian daripada dosa besar. Demi Allah! Sungguh mencintainya benar-benar termasuk dosa yang terbesar. Dan tidaklah dosa-dosa menjadi bercabang-cabang melainkan kerana cinta dunia. Bukankah sebab disembah patung-patung serta dimaksiati Ar-Rahman tidak lain kerana cinta dunia dan lebih mengutamakannya?”

_____________________________________________________________

Subhanallah… Maha Suci Segala Puji Hanya Bagimu!