salam lebaran

LAKUKANLAH setiap satu itu ikhlas semata-mata keranaNya. Carilah redaNya walau di mana juga kita berada. Hidup hanya untukNya, TanpaNya siapalah kita.

Dalam meredah rona-rona, liku-liku hidup, kekadang kita lupa akan hadaf utama kita diciptakan di atas muka bumi ini. Hidup bukan untuk mengejar matlamat duniawi semata, kerana apa yang jauh lebih penting adalah kehidupan yang kekal abadi di sana nanti. Apalah ada pada nikmat dunia yang sementara ini.

Tuhan sengaja menciptakan alam ini untuk melihat sejauh mana kita sebagai manusia, makhluk terbaik ciptaannya bijak menggunakan segala nikmat pemberian dariNya. Angkuh dan bongkakkah kita di atas alam ciptaannya ini, hanya kita sendiri yang tahu. Usah lupa bahawa Dia sentiasa memandang setiap langkah aturan kita. Hidup sebagai seorang hamba, maka itu buatlah cara seorang abdi kerana tentunya ada kuasa yang lebih besar daripada kita, tidak lain Dia Maha Kuasa, Maha Agung!

Dalam usaha kita mengejar cita dan impian, terkadang itu langkah mungkin juga salah diatur, hayunan kaki mungkin juga tidak bijak dipandu, maka lahirlah rasa tidak enak yang dizahirkan dari hati yang kotor. Oh, Tuhan sudah tidak sayangkan aku, Dia bencikan aku!

Aduh, adakah ini benar? Ingatlah bahawa setiap ujian dan kesusahan yang Tuhan beri itu adalah bukti dan mendalamnya cintaNya sebagai pencipta kepada kita. Ujian itu sekadar pelepas kesusahan di masa mendatang.

Semoga kita semua lebih kuat untuk menempuh hari-hari esok. Tuhan benci kepada orang yang lemah. Maka, jadilah kita manusia kuat, hebat dan tegar menempuh segala cabaran hidup.

 

p/s Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin daripada saya kepada semua pembaca SangMentari. Sekiranya wujudnya terkasar bahasa, menyinggung hati mana-mana pihak sepanjang keberadaan SangMentari di alam maya ini, haraplah diampun dari hujung rambut ke hujung kaki. Salam lebaran semua!