datangnya ramadhan mulia

BERKUNJUNGNYA Ramadhan kali ini sesungguhnya mengingatkan kita akan dekatnya kepada Hari kiamat. Begitu pantas masa berlalu. Setiap saat bagaikan seolah enggan untuk berhenti. Amalan yang dilaksanakan masih juga belum cukup.

 Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

 

Justeru, mengapa tidak kita menggunakan kesempatan datangnya Ramadhan kali ini untuk kita terus meningkatkan lagi amalan disamping menutup kembali segala dosa-dosa silam, salah silap yang sudah terlanjur dengan menuju ke mana-mana pintu taubat.

 Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. – Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

 Hadirnya Ramadhan ini tidak lain hanyalah untuk mengingatkan kita bahawa Allah masih memberi kita sekurang-kurangnya satu lagi peluang untuk kita memperbaiki diri dan mengisi ruang buat meningkatkan lagi amalan.

 Ya, sesungguhnya itulah tandanya kasih, sayang dan cintanya Dia kepada kita. Mengapa kita tidak pernah bersyukur?