apa agungnya kerja kerajaan

MENGAPA ramai antara kita yang masih berbangga dengan tali leher di dada. Kemeja kemas di tubuh. Sepasang kurung yang cukup indah dan bergaya.

“Yalah, aku kerja kerajaan. Kau kerja apa!”

Ya, memang wujud golongan yang masih lagi berfikiran seperti era tahun 60 atau 70-an. Negara kita sudah jauh maju dan membangun sekarang. Peluang perkerjaan terbuka di mana-mana. Mengapa harus diagungkan sangat kerja dengan kerajaan itu?

Ya, bekerja dengan kerajaan itu menjamin masa depan, secara tidak langsung membantu juga pertumbuhan dan kemajuan negara kita sendiri. Cuma pada satu sudut yang lain, saya mahu semua kita buka minda dan mula berpijak di bumi yang nyata.

Jangan terlalu mengharap pada sebuah pekerjaan yang pada dasarnya menjamin masa depan. Atau dalam kata lain, jangan terlalu selesa berada di zon yang selamat. Usah terlalu biasa hidup berlandaskan tradisi dan adat kebiasaan ibu ayah kita dahulu.

Mungkin dulu negara kita amat memerlukan tenaga-tenaga mahir di sektor kerajaan untuk menyumbangkan sesuatu buat negara. Seorang guru, akauntan, pegawai tadbir dan sebagainya. Namun, dunia dan realiti masa kini telah jauh berubah.

Kerajaan sendiri mula menyarankan kepada rakyat untuk lebih berdikari. Jangan terlalu bergantung harap kepada sektor kerajaan semata-mata. Kerajaan hanya membantu, tapi rakyat sendiri yang harus menggerakkan dan memacu kecemerlangan diri mereka sendiri.

Mengapa sering memandang rendah kepada mak cik-mak cik penjual kuih di tepi jalan. Percayakah anda bahawa si penjual kuih itu kekadang itu lebih berpoket daripada anda yang mungkin berbangga dengan pekerjaan terjamin anda itu? Tidak percaya? Fakta ini telah saya perolehi daripada hasil selidik saya sendiri.

Apapun pendapat anda dan saya, sebagai seorang rakyat dan masyarakat yang inginkan kemajuan dalam diri dan negara, seharusnya kita fikirkan dan mula mengorak langkah maju ke hadapan. Lakukanlah sesuatu yang diharap mampu menjana kemajuan negara kita.

Tidak semestinya di sektor kerajaan sahaja kita dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara kita. Rezeki ada di mana-mana. Berniaga itu sendiri adalah sunnah dari baginda Rasulullah sendiri. Jadilah umat yang bijak menggunakan peluang.

Gunakanlah ruang dan peluang itu sebaiknya. Inginkan sebuah kejayaan yang benar-benar besar, sememangnya perlu berani menanggung risiko yang benar-benar besar juga. Usah terlalu bersandar pada tradisi dan pemikiran nenek moyang kita.

Sekadar mengingatkan diri saya sendiri kerana saya sendiri bakal berkhidmat untuk kerajaan buat sekurang-kurangnya 10 tahun. Semoga menjadi umat yang sentiasa bersyukur!