SESEKALI apa yang dilalui dirasakan terlalu sukar untuk dihadapi. Terkadang itu mungkin payah juga untuk diterima. Manusia memang perlu berhadapan dengan segala cabaran, mehnah dan apa jua halangan tribulasi yang mendatang. Barulah namanya manusia.

Seminggu sudah menjejakkan kaki kembali ke bumi bertuah Malaysia dirasakan amat bermakna bagi diri saya. Jadual harian ternyata sudah tentulah berbeza. Kalau mungkin semasa di kampus, mungkin masa banyak dihabiskan bersama buku-buku dan bahan bacaan tambahan.

Namun, apa yang dilalui sepanjang seminggu ini tenyata sekali berbeza. Tiada buku di tangan, tiada masa diperuntukkan berjam-jam di hadapan meja studi. Aduh, apa hendak jadi ini?

Hari-hari yang dilalui juga terasa amat pantas sekali berlalu. Ya, terlalu deras. Rasanya mahu diputar kembali masa itu. Mengapa ya masa sering mencemburui kita? Kalaulah bisa saya undurkan kembali masa untuk sekurang-kurangnya barangkali dua atau tiga hari yang lepas… Oh, tidak mungkin. Bumi takkan sekali berputar melawan fitrah yang ditentukan kepadanya, begitu juga masa itu sendiri.

Masa-masa yang dilalui banyak dihabiskan dengan kerja-kerja lain. Untuk pelajaran, mungkin sekadar sejam sehari (itupun sudah dikira lama). Semoga segala kerja yang dilakukan ini mendatangkan manfaat dan pengalaman baru kepada diri saya.

Alahai, cepatnya jam itu berputar, derasnya setiap aturan kejadian Tuhan!