BILA benci sudah mula bertapak di sanubari, segala yang diidam sudah semestinya akan dipandukan berdasarkan niat hati yang busuk itu. Ya, mengapa mesti ada benci?

Setiap antara kita seharusnya mengerti bahawa manusia yang diciptakan di atas muka bumi ini sama sahaja. Tidak ada bezanya antara kita. Baik yang kaya, miskin, berada atau pun yang fakir. Semuanya memegang status hamba dan khalifah di muka bumi pinjaman Tuhan ini. Justeru apa perlunya saling membenci?

___________________________________________________________

Menurut The American Heritage, Dictionary of the English Language, Edisi keempat cetakan 2009 oleh Houghton Mifflin Company, benci boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan permusuhan, perseteruan dan persengketaan yang cuba ditimbulkan kepada sesebuah pihak.

___________________________________________________________

Sesetengah individu merasakan amat puas apabila melihat individu yang dibenci itu ditimpa kesusahan. Justeru pelbagai langkah mungkin akan diusahakan demi melihat mereka yang dibenci itu mendapat kesulitan. Tidakkah ini hanya menjatuhkan kredibiliti kita seorang manusia yang begitu tinggi sekali nilainya pada pandangan Tuhan.

Sedangkan haiwan sendiri mampu menunjukkan nilai kasih dan sayang mereka sesama sendiri, inikan kita manusia yang diberi Tuhan dengan limpahan nikmat yang tidak terhitung sekali banyaknya. Maka, rugilah manusia yang punya hati sebusuk itu.

 3 perkara buat menjauhi sifat benci:

 1)      Bersihkan hati. Sentiasa meminta doa daripada Allah swt semoga dibersihkan hati kita daripada segala anasir yang menghitamkan hati.

2)      Berbuat baik kepada semua orang sama ada rakan dan yang pernah dibenci. Tidakkah ini juga suatu sunnah daripada rasulullah. Bagaimana nabi sendiri sentiasa berbuat baik kepada mereka yang memusuhi baginda setiap masa.

3)      Perbetulkan niat. Apabila jiwa dan hati mula dirasai kotor dengan hasad, dengki dan benci, segeralah mengimbas kembali niat asal sesuatu perkara itu dilakukan. Jika niat asalnya semata-mata kerana Allah swt, maka sandarkanlah sepenuh hati kepadanya. Buangkanlah segala hasad dan benci yang mulai bertapak di hati.

 Semoga kita menjadi insan yang lebih bersyukur atas segala limpahan kurniaNya ke atas kita selama ini!