Tuhan ada di mana-mana. Dia sentiasa memerhatikan hambanya...

BERDOSAKAH solat di tepi jalan? Tidak ramai yang terfikir soalan sedemikian rupa. Saya sendiri sejujurnya tidak sampai ke tahap sehingga mampu memikirkan perkara seperti ini. Sembahyang di tepi jalan.

Jadi, anda semua bagaimana? Pernah melihat manusia sembahyang di jalan raya, di padang permainan, atau di mana-mana sahaja?

Persoalan ini sering timbul lantaran wujudnya sesetengah golongan yang memandang serong perbuatan sedemikian. Benarkah begitu?

Di negara kita Malaysia, perbuatan seumpama ini memanglah boleh dikatakan ‘gharib’ atau pun jarang sekali untuk kita temui. Pernahkah anda melihat mak cik atau pak cik yang menunaikan solat di pasar malam, di tepi jalan atau di pesisir pantai? Bukannya tidak ada, tetapi andainya ditemui perbuatan seumpama ini, maka lantas mereka akan dicop dan dilabel dengan gelaran yang bukan-bukan. Mungkin sampai ke tahap tidak siuman.

Mengapa boleh jadi begini? Salahkah menunaikan sembahyang di tempat yang terbuka? Berdosakah? Salahkah di sisi agama?

Realitinya, rakyat di negara kita masih terlalu berpegang kepada adat tradisi dan pegangan warisan yang diturunkan sepanjang generasi. Maklumlah, Malaysia negara yang kaya dengan warisan turun-temurunnya. Hebat juga dengan adab dan sopan. Nilai-nilai ketimuran.

Namun, wajarkah sampai meninggalkan solat lantaran mahu menjaga nilai-nilai ketimuran itu.

___________________________________________________________

“Kat mana nak solat ni. Sejadah tak bawa. Aduhai…”

“Surau kat sini memang tak ada ya, macamana mak cik nak sembahyang ni?”

___________________________________________________________

Akhirnya, kerana semua alasan itu, ada antara mereka yang sanggup meninggalkan perkara yang jelas-jelas wajib. Aduh, malang sungguh adab dan budaya kita! Kerana itu yang ditunjangkan, yang lebih utama dan perkara yang sememangnya sudah terang lagi bersuluh wajib dilaksanakan sanggup dibaraikan begitu sahaja.

Justeru, anda bagaimana? Macam mana nilai ketimuran anda? Salahkah solat di tepi jalan?

 

p/s Salah satu perkara yang saya amat kagumi di Mesir ini ialah sikap rakyatnya dalam menunaikan solat. Tidak kira di mana sekalipun, tiba sahaja waktu solat, mereka akan menunaikan solat berjemaah. Ada di depan bengkel, di kawasan kedai-kedai, di kaki lima. Sungguh, budaya ini harus kita fikir-fikirkan di bumi bertuah kita, Malaysia.