jangan kacau. saya nak privacy!

SELALU orang bicara tentang nilai privacy mereka yang diceroboh. Dihinjak dan dipijak-pijak. Seolah diri sewenangnya ditetak-tetak. Benarkah begitu?

Saya akan melontarkan pelbagai  pandangan dan resolusi untuk menjawab kesemua persoalan ini. Apa akan jadi apabila nilai privacy kita disentuh. Eh, bukan sahaja disentuh ya. Bahkan dirobek-robek. Apa yang patut dilakukan? Apakah nilai privacy kita harus ditunjangkan, diagungkan setinggi-tingginya? Cuba lihat dialog di bawah:

___________________________________________________________

Maman    : Dik Kiah, ke sana siket boleh tak?

Dik Kiah : Kenapa bang? Adik nak baca bukulah.

Maman    : Alah dik, pergilah jauh siket. Abang nak cakap dengan kawan abang ni.

Dik Kiah   : Ooh, abang nak borak dengan awek abang ya. Adik ngadu kat mak!

Maman    : Eh adik ni, siket-siket nak ngadu. Pergilah keluar, jangan kacau abang. Pergi ya.

Dik Kiah : Tak naklah, adik nak kacau abang… ngeeee (sambil tersenyum girang menyindir)

Gedebukkk!!!!

Maman    : Hah, padan muka kau. Aku suruh keluar tak nak!

___________________________________________________________

Hai kawan-kawan, ada tidak antara kita yang seperti itu? Kasihan bukan si adik comel itu. Sampai ditolak (atau ditendang) oleh abangnya semata-mata tidak mahu meninggalkannya sendirian di dalam bilik.

Dilihat dari satu sudut, memang Dik Kiah harus dipersalahkan. Ya, nilai privacy si Maman seolah cuba dibatasi oleh kelakuan si adik. Maman mungkin akan berkata di dalam hati, “Tak best betullah. Langsung takde privacy. Menyeboklah Dik Kiah ni.” Mungkin itu yang diungkapkan oleh Maman sebelum menyuruh adiknya keluar dari bilik itu.

Dik Kiah pun satu hal juga. Sudah tahu abangnya itu memang kaki jiwang. Apabila tahu si abang itu sedang ‘berasmara’, faham-fahamlah. Jangan buat-buat tak tahu. Ini sampai abangnya naik angin. Lagi sekali saya ulang, pada satu sudut memang Dik Kiah bersalah. Dia seolah cuba mencuri privacy abangnya, Maman.

Namun sahabat-sahabat, wajarkah kita menyalahkan satu pihak sahaja. Atau mudahnya, patutkah kita memandang suatu aspek dan perkara itu pada satu sudut sahaja. Aduh, sudah tentu itu tidak adil bukan. Ya, bukan saya seorang sahaja yang bercakap begini, bahkan saya tahu semua anda di luar sana turut sama berkongsi fikrah dengan saya. Kita wajib memandang suatu kejadian itu daripada semua sudut. Sama ada positif mahupun negatif walaupun suatu perkara itu sudah terang-terang ada pesalahnya.

Saya ambil tamsilan mudahnya begini. Apabila ada suatu kejadian kecurian yang berlaku. Siapa yang selalunya dipersalahkan? Ya, sudah tentu si perompak itu yang awal-awal lagi yang akan ditangkap. Memang dialah individu yang dipersalahkan. Tapi, wajarkah kes ini ditujukan seratus peratus atas kesalahan si perompak itu.

Kawan-kawan, kadang-kadang dengan kejadian seperti inilah Allah sengaja mahu melihat setiap hambanya. Mana yang tahu bersyukur dan mana pula hambanya yang tidak pernah tahu erti syukur. Hikmah itu sengaja Allah berikan untuk setiap hambanya cari. Bukankah dengan kes kecurian ini Allah sengaja mahu mengingatkan pak Dollah supaya berhati-hati.

Sebelum tidur pastikan tingkap dibahagian dapur ditutup rapat dan dikunci. Kerana mungkin hari ini rumahnya diceroboh masuk oleh pencuri. Esok lusa siapa tahu anak daranya pula bakal dilarikan dan diragut nilai kewanitaannya, lantaran kecuaiannya itu, kala ini nilai privacy tidak perlu dibicarakan lagi. Semua sudah terlambat. Jadi para pembaca semua, tidakkah ini suatu hikmah yang sengaja Tuhan beri untuk setiap hambanya.

Dalam siuasi Dik Kiah dan Maman pula, cuba kita pandang dari satu sudut yang berbeza pula. Kita pun sudah jelas bukan. Lihat sahaja tamsilan saya di atas. Sudah terang lagi bersuluh bahawa perompak itu memang yang wajib dipersalahkan dalam kes kecurian itu. Benar bukan? Namun, jika kita cuba melihat dan memandangnya dari pandangan sudut yang berbeza, kita akan mendapat natijahnya yang lebih ilmiah dan bemanfaat untuk kita.

Kalaulah pun Maman mahu mengatakan nilai privacynya diganggu oleh si adik, tidakkah dia seharusnya memandang dari sudut yang berbeza. Tidakkah lebih baik sebagai abang yang lebih tua, dia sendiri yang keluar dan mencari tempat yang sesuai buat dirinya. Bukankah itu dikira penyelesaian yang lebih sempurna daripada bertindak seperti tidak mempunyai akal yang waras.

Kita sebagai pendengar, cuba fikirkan. Pandang dari semua aspek. Saya bagi tiga sudut untuk kita sama-sama hayati:

1)      Nilai privacy Maman diragut oleh adiknya. Dik Kiah memang tidak patut bertindak begitu. Dia yang bersalah.

2)      Maman seolah lupa nilai tolak-ansur (toleransi). Sebagai abang, dia seharusnya lebih matang dalam bertindak. Apalah sangat pada privacy bercakap dengan awek kalau adik yang membesar sejak kecil bersama sanggup ditendang dan ditolak.

3)      Mana yang lebih penting. Membaca atau berbual dengan kawan? Kalau dilihat dari sudut ini, semua tahu jawapannya. Justeru siapa yang merasakan tindakan mereka itu kurang penting, maka sebaiknya mengalah sahajalah.

Akhir kata daripada saya, ingatlah ya, privacy setiap kita memang amat penting. Kalau rasanya mahu sangat meletakkannya pada nombor satu dalam prinsip hidup anda sekalipun, lakukanlah. Saya tidak melarang. Memang betul pun. Privacy harus diutamakan.

Tapi, jangan sampai kita lupa, bahawa kita tidak pernah hidup keseorangan… pandanglah kiri dan kanan. Moga mereka bakal membantu kita nanti lantaran toleransi kita pada hari ini… salam ceria semua!

 p/s Dalam setiap tindakan itu, pandanglah pada pelbagai sudut yang berbeza. Itulah bezanya orang yang bijak dan yang kurang bijak. Jangan terlalu mengikut hawa emosi.