SETIAP yang hidup pasti akan berdepan kematian. Suatu hari nanti pasti tiba masa untuk kita pula. Saat mengangkat takbir pada solat jenazah sebentar tadi, hati ini bertanya, mungkin sekejap nanti giliran saya pula yang  dipilih olehNya. Ya Allah, andaiNya Kau pilih diriku, berikanlah peluang untukku menghadapMu dengan cukup bekalan buat persediaan diriku kelak!

al-fatihah

AL-FATIHAH buat Ammar…

al fatihah

Sesungguhnya pemergiannya amat dirasai. Sebagai sahabat dan senior, Ammar teramat baik pada saya. Tutur lembutnya ketika bergaul dengan saya membuatkan saya sendiri teramat sukar untuk mempercayai pemergiannya. Masih teringat saat-saat terakhir perbualan bersamanya. Semoga rohnya aman di sana dan sentiasa dicucuri rahmat.

___________________________________________________________

Kaherah, 11 Jun – 5 pelajar perubatan Kaherah terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari Ain Sokhna selepas Maghrib malam semalam. Tujuan asal mereka ke sana untuk meninjau tempat sempena Rehlah Gen6 28 Jun ini.

Kenderaan yang dinaiki mereka diceritakan terbabas sewaktu cuba memotong sebuah lori akibat hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik. 3 mangsa yang berada di bahagian belakang cedera parah.

Allahyarham Muhammad Ammar b Zulkifli, meninggal dunia di tempat kejadian manakala 2 lagi cedera parah. Mangsa-mangsa dibawa ke Hospital Suez Al-Am sebelum dihantar ke Hospital Kasr El Ainy kerana kekurangan kemudahan.

Abdul Rahman b Ramdzan dilaporkan telah sedarkan diri manakala Akram Abdul Kadir masih koma. Abdul Rahman patah lengan kanan, dan Akram didapati mempunyai darah beku di bahagian otak. Kedua-dua mereka dimasukkan ke bilik pembedahan jam 8 pagi tadi.

Jenazah Ammar tiba di Hospital Zahra’ Abbasiah pagi tadi untuk diuruskan. Solat jenazah akan diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah selepas Zohor nanti. Allahyarham akan dihantar pulang ke Malaysia esok pagi. Mereka yang mempunyai sebarang hutang piutang diharapkan dapat menuntut daripada waris Allahyarham dan dihalalkan segala salah dan silap.

2 lagi mangsa, Muhamad Fitri Tokiran dan Saif Jamaluddin hanya mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang. Saif masih ditahan di balai polis Suez untuk soal siasat dan akan dibenarkan pulang ke Kaherah tengah hari nanti. – Sumber dari Media Perubatan.

p/s maklumat lanjut berkenaan kemalangan berkenaan boleh klik sini.