“Beginilah tuan imam. Apa kata kita panggil sahaja…” kata-kata Penghulu Karim terhenti di situ sahaja tatkala Imam Mursyid segera merengus kasar.

Ketua agama itu seakan memahami apa yang ingin diberitahu oleh Penghulu Karim. Dia memang bijak membaca isi hati orang tua itu. Pengalaman dan ilmu banyak mengajarnya selama ini.

“Kita diciptakan ALLAH supaya kita tunduk dan patuh kepadaNYA sahaja. Tiada yang lain melainkan DIA sahaja yang berhak kita percaya. ALLAH sahaja yang patut kita sembah. MensyirikkanNYA adalah salah satu dosa besar dan tak akan diampunkan olehNYA!” Suara Imam Mursyid agak meninggi. Sedikit bergetar.

Penghulu Karim terus tertunduk. Segala yang difikirkannya terlebih dahulu dapat dibaca oleh Imam Mursyid. Ternyata firasat orang berilmu agak jauh berbeza dengan dirinya sebagai manusia biasa. Hidup hanya berpegang pada gelaran dan pangkat sahaja. Seakan sedar bahawa hidup ini kosong tanpa pegangan dan cahaya Nur daripada pencipta hakiki muka bumi ini.

Penghulu Karim terus membisu. Selama ini dia begitu mempercayai bomoh-bomoh dan dukun-dukun untuk menyelesaikan segala permasalahan yang melanda kampungnya. Imam Mursyid langsung tidak diajak berbincang. Dan kali ini, Imam Mursyid bertegas melarang segala amalan yang boleh memesongkan akidah orang mukmin.

“Apakah kita lupa akan asal-usul kejadian kita? Bagaimana moyang kita Adam boleh disingkirkan dari syurga hanya semata-mata termakan pujuk rayu syaitan. Sehingga lupa amanat dan suruhan ALLAH. Adakah kita mahu perkara itu berlaku ke atas kita?” Imam Mursyid seakan-akan menyedarkan Penghulu Karim dengan ayat-ayat yang lebih berhikmah. Dia tahu Penghulu Karim agak jahil dalam ilmu-ilmu agama. Segala pendekatan perlu dijalankan dengan cara yang paling terbaik sekali.

Tugas seorang pendakwah tidak seharusnya dilakukan kepada manusia-manusia yang kafir sahaja. Bukan kepada mereka yang nampak secara lahiriah jahil dalam agama juga. Tetapi apa yang lebih utama, para pendakwah perlu memastikan kesemua masyarakat sekeliling mereka tidak lari daripada prinsip pegangan hidup mereka. Akidah Islam tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.

Perbincangan mereka terhenti tatkala mendengar jeritan daripada Aliff. Semenjak ditinggalkan bapanya, Aliff menjadi seperti tidak siuman lagi. Kerap bermimpi yang bukan-bukan. Penghulu Karim yang menjaganya semenjak ketiadaan Iskandar semakin runsing memikirkan semua permasalahan. Setiap kali terjerit, pasti dia akan mengejutkan seluruh penduduk kampung. Tangisan dan laungannya itu seolah-olah sedang disampuk.

Kali ini, Aliff menjerit memanggil-manggil nama ibunya. Penduduk kampung yang telah berada di rumah Penghulu Karim segera mendapatkan Aliff yang diletakkan di salah sebuah bilik untuk tetamu. Kaki dan tangannya telah diikat. Ini dilakukan sendiri oleh Penghulu Karim. Semata-mata untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku. Penghulu Karim dan Imam Mursyid segera berlari ke bilik. Penduduk kampung yang lain segera ke tepi, memberikan laluan kepada mereka berdua.

Potongan ayat-ayat suci Al-Quran segera di baca, lalu ditiupnya ke muka Aliff sambil mengusap ubun-ubun kepalanya. Imam Mursyid segera bersila di samping kepala anak kecil itu. Mulutnya tidak lekang mengulangi bacaan ayat-ayat kursi. Sekali lagi ditiupnya ke muka Aliff.

Kali ini, ubun-ubun kepalanya dikucup berulang-ulang kali. Perlahan-lahan kanak-kanak itu berhenti daripada menjerit. Nafas di dadanya masih tercungap-cungap. Seakan menahan satu kuasa jahat yang cuba untuk menguasai dirinya sebentar tadi.

Imam Mursyid masih di situ. Kejadian yang berlaku sebentar tadi dihadapinya dengan penuh ketenangan. Sesekali kedengaran istighfar yang diulang-ulangnya berulang kali.

Penduduk kampung yang duduk di sisinya turut sama mengikut. Ada yang mengucap puji-pujian ke atas Maha Pencipta. Sekali lagi Imam Mursyid berjaya menahan kuasa-kuasa jahat. Namun, dia masih mengakui dirinya sebagai hamba manusia yang biasa. Musibah di kampung tersebut yang ternyata lebih besar masih belum mampu ditanganinya lagi. Segera dia terkenang peristiwa lima tahun lalu itu…

Sorotan semula…

SENJA kian hampir. Petang yang redup itu sesekali membawa bersama angin belantara meniup debu-debu pasir di denai itu. Gagak di udara mula pulang ke sangkar masing-masing. Semua penghuni rimba mula mencari tempat perteduhan. Malam bakal menjelma tidak lama lagi. Imam Mursyid sedang menuju ke surau untuk bersolat Maghrib. Langkahannya diatur seiring dengan lafaz-lafaz memuji Maha Pencipta. Suatu perkara yang tidak mungkin ditinggalkannya selama ini.

Semenjak kecil dia telah dididik sedemikian rupa. Bapanya dahulu dikatakan menuntut sehingga ke Tanah Arab. Juga difahamkan meninggal dunia di sana. Apabila ditanyakan lebih lanjut, Imam Mursyid lebih suka merendah diri. Menganggap dirinya makhluk biasa. Tiada apa-apa keistimewaan.

Derapan kakinya serta-merta terhenti tatkala naluri hatinya secara tiba-tiba dapat merasakan sesuatu perkara buruk sedang berlaku. Perkara yang mungkin akan bakal membawa petaka kepada seseorang.

bersambung…

p/s koleksi cerpen SangMentari yang lain ada di ruangan pautan Cerpen SangMentari.