saya sedang berkecil hati ni.. huh!

PERNAHKAH anda merasa berkecil hati kepada seseorang? Suatu soalan yang sememangnya tidak harus dilontarkan di sini. Seorang yang dikatakan lahir sebagai manusia normal seharusnya punya rasa ini. Bukan namanya manusia kalau tidak pernah berkecil hati.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula yang bergelar status manusia. Makhluk yang dilimpahi dengan berencam rasa dan emosi. Antara rakan dan taulan, saudara-mara atau pun adik-beradik sudah tentunya lagi. Pokoknya di sini, mengapa mesti berkecil hati?

Pelbagai teori boleh dijelaskan di sini demi merungkai satu-persatu psikologi manusia yang sering dan mudah untuk merasa berkecil hati. Jelasnya, tidak semua manusia mudah untuk berkecil hati. Ada orang begitu selamba sahaja walaupun ditimpa pelbagai cemuhan dan perkara yang menyakitkan hati.

Ada pula yang baru sahaja tidak diberikan perhatian, baru sahaja dipinggirkan oleh rakan sudah memuncungkan mulut sedepa, berkecil hati tidak sudah-sudah. Ya, mengkaji sejauh mana tahap perasaan manusia normal untuk berkecil hati ini memang menarik, walaupun kekadang itu terlalu sukar untuk ditafsirkan.

Kepada mereka yang mudah sangat berkecil hati itu, selalulah anggap bahawa setiap yang berlaku itu sekadar mainan hidup. Kalau susah sangat pun hendak menerimanya, anggap sahaja itu datangnya dari Allah. Bukankah Dia yang empunya alam ini. Kita cuma peminjamnya sahaja. Mengapa hendak cuba membentak setiap aturanNya?

____________________________________________________________

Sesungguhnya pada setiap orang ada dua malaikat yang menjaganya. Namun, bila takdir telah datang, kedua malaikat itu tidak mampu berbuat apa-apa, hanya mengikut takdir itu. (Ali bin Abi Talib)

__________________________________________________________

Cuba hayati dialog di bawah:

Papa  : Kenapa adik nangis nie?

Adik   : Adik tak suka papa!

Papa  : Kenapa ni dik, papa ada buat salah kat adik ya. Ok, cuba bagitau kat papa, apa salah papa?

Adik   : Adik benci papa, adik tak suka papa!

Papa  : Eh, adik ni kalau merajuk, kalau berkecil hati, makin comellah… ( si bapa terus memujuk si anak)

Adik   : Tak mo kawan papa!

Papa  : Bagitaulah papa dik, kenapa adik marah papa. Papa tak sukalah adik macam nie.

Adik   : Emm.. Adik bukannya suka pun pakai pakaian tu. Adik Cuma ‘ter’ aje. Bukannya sengaja pun. Tapi papa marah adik macam-macam. Itulah inilah. Adik tak suka. Adik benci papa!

Papa   : Lorr, adik kecil hati kat papa pasal semalam tu ya. Oklah, papa salah, papa minta maaf. Dahlah ya, jangan kecil hati lagi. Papa tak sengaja semalam. Papa tak tahu adik tak sengaja buat macam tu. Papa pun ‘ter’ marah aje. Hehe..Papa dah minta maaf kan… dah jangan merajuk lagi. Ok dik, tenyum…

Adik   : Huh!

Ramai antara kita yang cepat sangat untuk berkecil hati. Ya, itu memang tidak salah. Berkecil hati juga kekadang itu perlu untuk melayan rasa ketidakpuasan hati yang membuar-buar di dada. Jika tidak dikecilkan hati itu, pasti sahaja benda lebih buruk bakal berlaku. Gelombang Tsunami kedua barangkali.  Berkecil hati itu bukankah juga salah satu daripada sifat normal seorang manusia. Jadi, biasalah kalau anda juga punya rasa kecil hati.

Kadang-kadang orang mudah berkecil hati lantaran nilai ‘privacy’ mereka diceroboh. Ya, dalam situasi dan hal ini, amatlah perlu untuk anda merasakan marah, benci dan geram. Berkecil hati sudah tentulah bukan. Nasihat ikhlas daripada saya, apabila ini berlaku kepada anda, jangan cukup sekadar berkecil hati, tetapi zahirkanlah rasa anda itu kepada mereka. Katakan sahaja, “Aku tak suka kau masuk tahu hal privacy aku. Aku kecik hati tau!!!” Ha, kan senang. Lepas semua yang ada di dalam dada itu.

Semoga yang membaca mendapat manfaat. Jangan mudah berkecil hati. Dan kalau hendak sangat pun berkecil hati, pastikan ada nanti yang datang memujuk. Kalau tidak, jangan salahkan saya kalau kecil hati anda itu nanti tidak akan ada penghujungnya. Selamat berkecil hati!