mencari dalam meraih tenangnya hati..

TUHAN selalu beri manusia ujian dan cabaran untuk kita lebih kuat mendepani setiap dugaan itu. Tidak ada apa yang dilakukanNya selain untuk menjadikan kita lebih cemerlang dalam hidup.

Jangan selalu menganggap apa yang ditakdirkan kepada kita itu sebagai musibah. Ya, bersedih atas setiap malapetaka, bermuram di atas perkara yang tidak dijangka adalah lumrah. Cuma jangan sampai dikata melawan kehendak takdir.

Terkadang manusia teramat penuh dengan pelbagai rasa yang tidak terungkap dek kata-kata. Namanya pun manusia, sudah tentu dianugerah dengan bermacam perasaan. Ada curiga, syak-wasangka, cemburu, benci, dendam dan termasuk juga rasa  kasih, sayang, cinta dan yang seumpamanya.

Tidakkah baik jika sifat yang mahmudah sahaja yang sentiasa bertapak di sanubari seorang yang bernama manusia. Mengapa ada benci? Mengapa mesti cemburu, iri dan berencam lagi sifat yang boleh mendatangkan sikap mazmumah?

Adakalanya, setiap yang telah berlaku dan yang akan berlaku itu memang sengaja diatur oleh Tuhan untuk kita menjadi lebih tegar dalam hidup. Lebih cekal dan kuat dalam mendepani rona. Aduh, Tuhan berikan kami lebih kekuatan untuk mendepani ujianMu!

Hari ini kita mungkin merasakan Tuhan amat tidak sayang kepada kita. Kenapa? Ya, mungkin kerana diberikanNya kepada kita rasa hati yang tidak seperti yang diharapkan. Terkadang itu ketenangan yang sentiasa diharapkan gagal untuk diraih lantaran ujian yang menimpa. Kemanisan damainya hati sentiasa dijarah oleh kekadang itu sekecil-kecil perkara sahaja.

Jika ini berlaku, mahu salahkan siapa? Tuhan?

Jangan terlalu mudah tewas dengan keadaan dan situasi. Seorang yang kuat adalah mereka yang mampu menghadapi setiap onak dan liku itu dengan selamba. Anggap sahajalah setiap susah dan derita itu sebagai lakaran warna-warni kisah hidup kita. Bila Tuhan masih sayangkan kita, Dia akan terus uji dan uji kita agar kita lebih cemerlang dan gemilang dalam hidup!

Kembalilah kepada Tuhan, dalam apa jua pun hal dan keadaan. Dialah tempat kembalinya tatkala jiwa bergolak, hati meranai resah, jiwa meruntun gelisah. Berbolaknya hati itu adalah lantaran kurangnya penyerahan dan pergantungan kita kepadanya. Kurangnya percaya kita di atas setiap aturanNya.

___________________________________________________________

Ya Allah, Ya Rabb, Ya Rahman, Ya Rahim…. Hapuskanlah ya Allah hitam dan kedam yang terbuncah dihatiku. Kembalikan sinaran tenangMu ke dalam jiwa hambaMu ini ya Rabb! Semaikanlah rasa tenang, sayang, kasih dan cinta. Maka kau buangkanlah bibit benci, prasangka dan iri dari lubuk hitamku..…  Amin.

___________________________________________________________

p/s Tuhan sentiasa sayangkan kita. Maka itu jangan malu untuk sentiasa mengharap kasih dan rindu dariNya. Bila resah dan gelisah menyapa diri, segeralah menghadapNya kerana  Dia tidak pernah menghampakan harapan setiap hambaNya.