memantau jati diri kita...

SETIAP saat pasti ada manusia yang akan masuk ke dalam jerat syaitan. Makhluk itu tidak akan pernah sama sekali berhenti daripada menyesatkan seluruh anak-anak Adam. Apakah kita telah lupa semua ini?

Terkadang itu saya sendiri takut untuk menerima hakikat bahawa kita sentiasa berdepan dengan dugaan dan pujukan sang iblis itu. Setiap masa, semua yang memegang panji cucu cicit Adam tidak boleh lari  daripada kenyataan ini.

Mengapa mesti kalah? Tidakkah kita punya kekuatan dalaman yang siap terbekal sejak dilahirkan lagi. Sejauhmana kukuhnya kekuatan itu adalah bergantung kepada bagaimana kita membajainya sepanjang tempoh kehidupan kita.

Saya ambil tamsilan mudahnya begini. Andainya sejak dari bangku sekolah lagi atau lebih tepat semenjak kecil kita tidak disemai dan dididik dengan cukup nilai-nilai agama dan penghayatan yang kurang tentang norma-norma kehidupan, sememangnya kita berdepan dengan masalah ini.

Tidak semua manusia begitu ya. Ada yang mungkin sejak kecil kurang mendapat didikan agama yang cukup daripada keluarga. Namun, tatkala usia menjangkau suatu tahap di mana mereka mampu mengawal diri sendiri, mereka dengan sendirinya mampu mengubah keadaan dan fenomena asal ada diri mereka.

Faktor dalaman dan luaran amatlah penting dalam menentukan pembentukan jati diri seseorang. Kuatnya kita sebagai manusia untuk berdepan dengan setiap dugaan, berhadapan dengan segala rona liku hidup adalah sentiasa dipantau oleh dua faktor ini.

Apabila diamat-amati dan telah juga dibuktikan oleh banyak kajian-kajian, jelas bahawa faktor dalaman setiap individu adalah jauh lebih penting dalam menangani setiap permasalahan ini.

Kita boleh mengatakan bahawa semua yang berlaku kepada kita adalah bukan daripada salahnya kita sendiri. Kita juga boleh menuding jari kepada mana-mana pihak atas kesilapan  yang diletakkan di pundak kita.

Namun, jangan sampai kita lupa bahawa realitinya semua itu tidak mampu diubah oleh kita dan apa yang mampu diubah adalah semua yang wujud pada diri kita sendiri. Ya, diri anda sendiri bukan mereka! Kita yang menentukan setiap hala tuju diri kita. Mengapa mesti menolaknya kepada pihak lain?

Selamat menempuh cabaran masa depan. Kuatkan jati diri kita. Semoga terus gemilang menempuh hidup!