bila Tuhan bicara tidak

MANUSIA jarang menyatakan, “Ya, aku terima ini sebagai yang terbaik untuk aku. Aku harus terima.”

Yang selalu didengar mungkin bunyi-bunyi seperti ini, “Kenapa mesti berlaku pada aku. Aku dah buat yang terbaik. Perkara ini memang tak patut ditimpa pada aku!”

Anda mungkin jarang menyatakan ungkapan seperti ini. Namun, di dalam keadaan yang tanpa disedari anda mungkin juga akan bertindak sedemikian rupa, di kala emosi dan tekanan gagal untuk dikawal. Bukan anda sahaja, bahkan sesiapa sahaja yang bergelar status seorang manusia, termasuk saya. Sudah nama pun manusia. Makhluk yang penuh dengan cabaran dan kepelbagaian rencam dalam hidup.

Bila tuhan berikan sesuatu kepada kita, mengapa mesti mengeluh? Kenapa hendak marah-marah? Bukankah itu semua telah ditentukan untuk kita.  Anggap sahajalah ia sebagai hadiah yang teristimewa dari Yang Maha Pencipta untuk sekalian hambaNya. Bukankah itu lebih baik?

Tatkala ditimpa musibah, cuba fikirkan satu perkara. Adakah anda sahaja yang ditimpa masalah itu? Cuba lihat kiri, kanan, depan dan belakang. Pandang jauh sedikit ke tempat-tempat lain. Cuba selak pula halaman-halaman media massa di mana-mana sahaja. Adakah anda berseorangan?

Carilah merata tempat sekali pun, pasti ada manusia yang sedang ditimpa duka, derita, dan nestapa. Justeru mengapa mahu bersedih?

Pastikah anda bahawa setiap yang manis itu bakal mendatangkan bahagia kepada anda suatu masa nanti? Yakinkah anda juga bahawa setiap yang pahit itu akan menghadirkan duka kepada anda? Semua itu bukankah telah disusun atur dengan cukup sempurna olehNya. Terima sahajalah. Pasti ada baiknya untuk kita yang bernama hamba. Tak guna cuba-cuba untuk melawan kehendakNya.

Sedarkah anda tatkala mulut bebicara, hati mengeluh dan fikiran menyesal atas segala yang siap tertimpa untuk kita, tatkala itu kita sebenarnya sedang cuba melawan aturanNya. Bersedih tidak salah. Itu lumrah. Yang salah ialah berlebih-lebih dan tidak cuba untuk menghilangkan kesedihan itu.

Bila anda marah pada setiap ketentuan itu, percayalah bahawa anda sebenarnya sedang marah pada Dia. Siapakah kita mahu melawan kehendakNya? Bila Tuhan bicara tidak, bermakna tidaklah ia. Terimalah seadanya. Mungkin itu memang terbaik untuk kita.

Terimalah apa-apa yang Aku kurniakan kepadamu,dan jadikanlah dirimu daripada kalangan orang yang bersyukur. (Surah Al-A’raf – ayat 144)