curilah masa untuk bercinta!

KERANA cinta, gunung yang tinggi akan didaki. Lurah yang dalam sanggup dituju. Lautan meluas sanggup direnangi. Kerana cinta, nyawa sekali pun barang kali sanggup dijadi korban!

Manusia sering menjadi lemah lantaran cinta. Manusia juga kerap kali menjadi hebat kerana agungnya kuasa penangan cinta.

Ramai orang mengaitkan cinta dengan kemerosotan dan kemunduran. Tidak kurang juga yang mencirikan kasih dan sayang itu kunci kepada kehancuran.

Hidup perlukan kasih. Dan kasih perlukan sayang. Kasih dan sayang saling memerlukan. Ia adalah makanan dan santapan buat roh yang cukup kuat. Ia mampu memberikan suatu daya yang amat hebat!

Tanpa kasih, manusia memang boleh hidup. Namun hidupnya tidak ubah seperti patung, makhluk yang tidak bernyawa. Hidup penuh dengan kehambaran.

Kerana cinta, seseorang itu tidak pernah berasa jemu untuk menghadap TuhanNya. Lantaran cinta jugalah seorang hamba itu sanggup untuk dikorbankan nyawanya demi maruah agama terbela!

Cinta terkadang perlu sebagai booster. Namun apabila ia dicirikan dalam konteks kelelakian atau pun kewanitaan, ramai yang tersalah anggap pentafsiran cinta itu sendiri.

Apakah cinta hanya mengejar nafsu semata?

Ya, tanpa nafsu, hidup seorang manusia juga tidak ubah seperti mayat yang hidup. Tanpa nafsu tidak mungkin kita dapat merasa nikmat teknologi pada hari ini, mana mungkin akan  terciptanya pelbagai kemudahan dan rekaan yang tidak pernah terjangkau dek akal fikiran manusia puluhan tahun dahulu.

Tidakkah ini semua berkehendakkan nafsu manusia itu sendiri? Tanpa nafsu untuk mendapatklan suatu yang besar-besar, apakah semua ini mampu dibuktikan pada hari ini?

Manusia terkadang menjadi amat hebat lantaran cinta. Namun manusia juga akan menjadi terlalu bongok lantaran kuasa cinta itu sendiri. Jadilah kita manusia yang bijak mencari cinta, hebat menilai kasih dan sayang.

Jangan mati kerana tewas dek penangan cinta.

Kehebatan kita selalu ditentukan oleh tingginya nilai kecintaan kita. Ketewasan kita juga kekadang dinilai pada berapa banyak cinta kita. Jangan jadi bodoh kerana cinta. Jadilah lebih hebat kerana cinta itu anugerah Tuhan, kasih dan sayang itu adalah nikmat pemberian Allah buat setiap hambaNya.

Curilah masa untuk bercinta!