bersihkah hati kita?

HEBATNYA kita letaknya di dalam diri. Tidak ada siapa pun yang tahu akan kehebatan kita. Patutkah kita menilai kehebatan seseorang itu hanya pada luaran?

Ya, seorang bekas banduan mungkin akan terus dikatakan tidak berguna. Mungkin selamanya dia tidak akan dapat kepercayaan daripada manusia sekelilingnya walaupun dia sebenarnya benar-benar telah berazam dan bertaubat untuk berubah. Bukankah ini bukti salahnya psikologi kita dalam menafsir seseorang itu?

Seorang penjenayah mungkin sahaja akan mendapat kepercayaan penuh daripada seluruh masyarakat sekeliling lantaran berjayanya dia menyembunyikan identiti asal dirinya. Tidakkah ini juga merupakan satu lagi kelemahan dan ketidakpandaian manusia dalam menilai peribadi?

Psikologi manusia kekadang silap dalam menafsir. Manusia selalu menilai seseorang pada pengalaman dan pengamatan yang dizahirkan dari dasar hatinya. Semuanya itu adalah bergantung sejauhmana bersih, suci dan kemurnian jiwa setiap individu.

Selalunya manusia akan mudah terdorong untuk menafsir-nafsir suatu yang buruk-buruk. Jarang sekali untuk menganggap suatu yang baik pada perlakuan seseorang itu. Seorang yang megah dengan kereta mewah mungkin dikata menunjuk-nunjuk. Yang hanya mengayuh basikal akan dikata miskin. Gadis berjalan laju dikata tidak sopan. Sedangkan yang berjalan tunduk dikata terkepot-kepot alim.

Si tukang tilik juga kekadang salah dalam memberikan tafsirannya. Seorang doktor pakar mungkin juga silap dalam mengenalpasti penyakit. Justeru, secara fitrahnya tidak ada apa yang sempurna di dalam diri yang bernama manusia. Hasad dan dengki sememangnya sudah sinonim dengan nama manusia. Bukankah ini juga janji iblis suatu masa dulu untuk menyesatkan semua anak-anak Adam?

“Bukanlah kekayaan itu dari banyaknya harta benda, tetapi kekayaan itu adalah kaya hati dan kaya jiwa.” – hadith.

Semoga bersih hati kita. Semoga disucikan jiwa kita dalam melaksanakan tanggungjawab khalifah di muka bumi ini. Ya Allah, jadikanlah kami ini makhluk yang paling bersyukur atas limpahan nikmatMu, buanglah hasad yang melingkari segenap pelusuk nubari kami… Amin!