biarlah lambat asalkan berjaya!!

MERANGKAK tetapi sampai, lebih baik daripada berlari tetapi putus di jalan. Ini kata-kata daripada seorang cendiakawan. Apa maknanya?

Kita hidup bersandarkan pada suatu realiti dan fakta bahawa tiada yang kedua buat setiap manusia. Ya, sekali sahaja Allah berikan pinjaman nyawa buat setiap yang bernama manusia untuk hidup di muka buminya ini.

Justeru, apakah kita pernah menelusuri dan menyorot kembali rentetan sejarah penciptaan kita? Apakah sebenarnya hadaf dan matlamat hidup ini?

Ramai yang masih keliru akan sifir dan rona kehidupan. Ada yang masih tercari-cari identiti. Tidak kurang masih wujud di kalangan manusia yang tidak sempat pun mengenal siapa diri mereka sehinggalah menemui titik pengakhiran di alam ini. Persoalannya, bagaimana ini boleh berlaku?

Saya ambil perumpamaan dari cendiakawan yang  disebutkan di awal tadi. Merangkak itu lebih baik daripada berlari. Adakah benar ungkapan ini? Bukankah lebih baik berlari dan seterusnya sampai juga ke destinasi itu lebih baik? Bukankah itu yang lebih sempurna?

Dalam kita meredah cabaran dan liku hidup kita tidak boleh lari dari onak dan duri. Itu lumrah. Itu sudah asam garam hidup. Kita tidak boleh sama sekali menentang. Itukan sifir hidup. Tapi sebagai manusia kita pasti punya cara untuk mendepaninya dengan cara sebaik mungkin. Bagaimana ya?

Sidang pembaca sekalian, anggaplah sahaja setiap cabaran dan liku sebagai lawak, sebagai jenaka buat kita. Pelik? Yalah, andainya kita depani sahaja setiap cabaran itu dengan selamba, tidak wujudlah sedih. Tak adalah yang muram-muram bukan. Lambat laun masalah itu akan pergi dan kita akan kembali meraih senyuman yang dilempar sebelum ini.

Yang penting bagi setiap diri perlu ada sikap tenang dan sabar dalam menempuh setiap cabaran. Tenang itu bukankah sifat yang dianjur oleh agama. Marah-marah bukankah seolah membakar api. Bukankah api itu adalah asal kejadian syaitan.

Biarlah lambat dalam menuju kecemerlangan. Tidak mengapa perlahan dalam menuju kejayaan daripada cepat mendaki ke puncak tetapi sekejap sahaja sudah jatuh dan terus putus di tengah jalan. Selamat berjaya!