mana bijaknya kita?

RAMAI orang bijak tapi bodoh. Ramai si bodoh berlagak pandai. Apa makna yang harus dirungkai?

Tidak semua si cerdik pandai itu benar-benar ilmuan. Tidak sedikit juga yang dungu-dungu itu hakikatnya ‘tipuan’.

Sengaja saya mengorek masalah yang jarang difikir oleh sekalian manusia. Ramai tapi tidak semua tahu bahawa setiap saat yang dilalui adalah deretan waktu yang bodoh. Aduh, benarkah begitu?

Pernahkah anda melihat segolongan muda-mudi yang berpeleseran di mana-mana. Lebih tepat lagi, pernahkah anda berada bersama mereka?

Mahu tanya saya? Ya, saya tentu belum lagi seperti itu, tapi saya pernah berada di dalam golongan seperti itu. Bersama remaja yang banyak memang budayanya merokok, memukul dan memonteng-monteng kelas memang suatu yang amat berharga.

Berharga?

Ya, sampai sekarang saya merasakan bahawa kenangan seumpama itu tidak harus kita lupakan. Mereka itu kawan, dia itu sahabat, tapi kita tetap kita. Jangan biarkan sahabat menjadikan kita lari terpesong dari apa yang dikata diri.

Jangan selalu anggap suatu kejayaan itu diletak pada tahap akademik.

“Yalah, si mamat itu memang pandai, di sekolah dulu memang dia aje yang dapat nombor satu. Memanglah dia patut kaya. Memang patut pun dia hidup senang sekarang.”

Eh, benarkah begitu? Sifir hidup tidak menjanjikan sesuatu yang pasti. Si penagih dadah mungkin sahaja bergelar jutawan suatu hari nanti. Seorang mahasiswa yang hebat pada hari ini mungkin juga akan merempat di jalanan sepuluh tahun akan datang. Siapa tahu?

Saya bercakap kerana mahu menepis pandangan masyarakat yang terlalu menganggap pendidikan sebagai suatu proses untuk mencapai kejayaan. Ya, saya akui. Pendidikan dan pembelajaran melambangkan ketamadunan dan pemikiran sesebuah bangsa dan masyarakat. Dengan ilmu, si bodoh akan menjadi bijak. Dengan ilmu juga yang gelap akan menjadi terang.

Namun adakah proses pendidikan ini berlaku secara formal sahaja? Apakah setiap pengalaman yang dikutip itu tidak dikata sebagai wadah mengutip ilmu? Jelasnya, ilmu yang dikutip dari pengalaman dan kegagalan lampau adalah jauh lebih berharga. Seorang usahawan berjaya  akan lebih menghargai kedudukannya setelah dia melalui deretan kegagalan sebelum dia mencapai puncak.

Kejayaan ada di mana-mana. Usah di kata hanya  buku itu sumber ilmu. Kerana sekitar kita juga sentiasa memberi  ilmu buat kita, walaupun kita jarang menyedarinya.  Jadilah manusia yang lebih kreatif, hebat dalam menilai keadaan dan sekitar.

Jangan jadi bodoh, sebab tidak semua si bodoh itu benar-benar bodoh. Jadilah pandai, tapi jangan sampai terlebih pandai, takut-takut memakan diri. Sekadar merehatkan minda yang bercelaru:

Mamat                : Kedai gunting rambut abang ni operasinya  jam berapa ya?

Abang Pandai : Emm… abang biasa buka jam 8 pagi. Kemudian, rehat sejam pukul 12 tengah hari. Malam abang buka sampai pukul sembilan. Kalau waktu-waktu lepas asar macam ni memang ramai orang dik, kalau boleh lain kali elakkanlah. Kalau nak cepat, kosong takde orang, datang pagi, ha masa itu selalunya kosong.

Mamat            : Oh, terima kasih ya. Saya cuma nak tumpang motor saya kat sini aje. Nak minta tolong abang tengokkan. Boleh ya?

Abang Pandai : ???