DERAPAN kaki yang mematahkan ranting-ranting kayu dapat didengari oleh Iskandar. Dia mula berwaspada. Siap siaga untuk menghadapi ancaman yang sudah dijangka. Inilah balasan bagi mereka yang memungkiri janji. Azab akibat melawan sumpahan sang penderhaka di langit. Cuping telinga dipicingkan.

Mencari dari mana datangnya arah makhluk iblis itu. Walaupun tidak mempunyai kemahiran dalam ilmu mempertahankan diri, maruah keluarga mesti dibela. Cintanya ke atas sang isteri tidak akan luput dimamah usang. Tetap segar ditelan zaman.

“Wahai iblis yang terkutuk, menjelmalah kau! Kembalikan semula isteriku!”

Jeritan Iskandar berulang kali dapat didengari di rimba itu. Dia mula membuka langkah. Terpusing-pusing mencari iblis itu.

“Haahaahaaaaa…..” kedengaran suara Mas Gemara membingitkan malam yang sepi. Unggas dan binatang rimba segera berpergian. Pulang ke tempat asal. Ada yang lari menyelamatkan diri. Mereka semua pasti lebih tahu apa yang akan berlaku. Binatang selalunya dibukakan hijab untuk melihat makhluk yang tidak dapat dilihat oleh manusia dengan mata kasar.

“Kembalikan isteriku, bangsaaattt!!!” Iskandar cuba memberanikan diri. Mencabar kesabaran sang iblis yang sekian lama ditahan-tahan. Sekali bayu laut bertiup. Kali ini lebih deras dari yang tadi. Ranting-ranting dan dedaun yang gugur mula bertebaran di tiup angin malam. Dahan-dahan tua sudah mula patah dan gugur di kawasan itu. Tatkala inilah Mas Gemara muncul dibalik celahan rimba.

“Kau benar-benar ingin mencabar keperkasaanku! Kau ingkar perjanjian sumpahmu!” laung manusia bertunggangkan iblis itu. “Terimalah balasan akibat perbuatanmu sendiri!” Mas Gemara mengilai lagi. Kali ini, seluruh rimba bergema dengan suara makhluk durjana itu.

Kemudian iblis itu melompat tinggi dan mara lagi ke hadapan. Kini dia berada benar-benar di hadapan Iskandar. Telapak tangannya dibuka luas, kemudian digenggam erat-erat. Satu kuasa aura menyambar tepat ke  muka Iskandar. Terpelanting ke belakang. Lalu terpunduk ke sebatang pokok. Iskandar tiada berdaya lagi. Nafasnya termengah-mengah. Degupan jantung semakin pantas. Seakan maut bakal menjelma tidak lama lagi.

Mas Gemara mara lagi. Iskandar segera terengsot-engsot mengundur. Tanpa menoleh ke belakang, Iskandar memulakan langkah seribu meninggalkan kawasan itu. Mas Gemara membiarkannya pergi. Dia tahu Iskandar tidak akan mampu pergi jauh. Iskandar telah dikepung di dalam lingkungan pengaruhnya.

Kampung Hulu Belintar

Imam Mursyid membawa Penghulu Karim ke beranda rumah. Mereka yang lain sengaja dibiarkan di dalam rumah. Bimbang apa yang akan diperkatakan bakal  menimbulkan kesalah fahaman.

Penghulu Karim segera mengekori Imam Mursyid. Kedua-duanya menghadap ke laman rumah. Bunga-bunga orkid tersusun rapi di situ. Mak Minah, isterinya Penghulu Karim memang minat menanam bunga. Sekeliling rumahnya dihiasi dengan pelbagai jenis bunga dan tumbuh-tumbuhan.

Imam Mursyid mendengus kasar sebelum menyambung, “Ada sesuatu yang saya rasa Tok Penghulu perlu tahu,” riak wajahnya jelas mencerminkan kegalauan di hati.

“Apa dia tuan imam?”

Penghulu Karim segera mahukan penjelasan. Dahinya dikerutkan.

Imam Mursyid segera berkalih. Tangannya lantas memegang bahu Penghulu Karim. “Tok Penghulu, keluarga Iskandar sedang berada di bawah pengaruh iblis dan syaitan.”

Penghulu Karim masih tidak berganjak. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum mencelah, “Apa benar semua yang kamu katakan ini, tuan imam?” Penghulu itu masih kurang yakin apa yang diperkatakan oleh Imam Mursyid.

“Perkara ini berlaku semenjak lima tahun yang lalu. Sewaktu kelahiran anak tunggalnya itu.” Imam Mursyid memulakan bicara. Cuba menjelaskan kesemuanya. Merungkai segala yang tersirat. Penghulu Karim mendengar semua penjelasan Imam Mursyid. Ternyata Imam Mursyid banyak mengetahui sejarah latar belakang keluarga Iskandar. Setelah dijelaskan kesemuanya oleh Imam Mursyid, maka ketahuilah Penghulu Karim bahawa sepasang suami isteri itu telah bersekutu dengan iblis laknatullah.

“Apakah benar semua yang yang kamu beritahu ini, tuan imam?” Penghulu masih belum mempercayai apa yang dijelaskan oleh Imam Mursyid. Mengulangi soalannya sebentar tadi. Segalanya tampak sukar untuk dipercayai oleh akal logik manusia. Sedari tadi dia masih enggan mengiakan apa yang diperkatakan oleh Imam Mursyid.

“Saya hanya menjelaskan apa yang ada pada firasat saya, Tok Penghulu.” Imam Mursyid tampak gelisah memikirkan permasalahan ini. Bimbang ramai lagi penduduk kampung yang akan menjadi mangsa.

“Di dunia ini, ada pelbagai makhluk yang ALLAH ciptakan. Kesemuanya dijadikan agar dapat memakmurkan serta menjagai alam semesta ini sebaik yang mungkin. Sengaja ALLAH jadikan berbagai-bagai makhluk agar kesemua mereka termasuklah manusia dapat bersatu-padu mengindahkan alamnya. Dan kita sebagai makhluk terbaik kurniaannya, seharusnya menjadikan kelebihan yang diberikan itu sebagai penolak diri kita ke arah kemakmuran alam sejagat ini,” ujar Imam Mursyid lagi. Penghulu Karim diam mengiakan.

“Sebagai makhluk terbaik ciptaannya juga, kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab kita. Tugas kita sebagai pembawa ajarannya tidak harus kita lupakan. Sebagaimana ALLAH telah sebutkan juga dalam firmannya bahawa kita ini mesti menyeru sekalian manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan di samping mencegah perkara-perkara kemungkaran. Segala kejahatan perlu kita tegah, Tok Penghulu.” Imam Mursyid menekankan suaranya.

Segera berkalih ke arah Penghulu Karim. Suasana malam yang hening beserta kedinginan malam menambah kesejukan mereka berdua. Kedua-dua mereka tidak mengendahkan langsung kesejukan yang serasa menggigit-gigit tulang mereka. Kepala mereka ligat memikirkan penyelesaian yang harus dicari untuk merungkai segala musibah itu.

“Beginilah tuan imam. Apa kata kita panggil sahaja…” kata-kata Penghulu Karim terhenti di situ sahaja tatkala Imam Mursyid segera merengus kasar.

p/s boleh ikuti koleksi cerpen SangMentari di ruangan pautan cerpen SangMentari.