berdiri antara yakin dan percaya

PERCAYA dan yakin tentunya dua ungkapan yang berbeza. Antara percaya dan yakin perlu dibeza supaya tidak ada yang tersalah tafsir.

Anda percaya Tuhan itu punya kuasa. Percaya kiamat itu wujud. Percaya juga adanya alam kubur. Tapi, mengapa masih ada yang tidak yakin balasan tuhan kepada setiap perbuatan buruk hambanya?

Yalah, kalau manusia yakin bahawa setiap amalan yang jahat itu akan mendapat pembalasan, tentu sahaja kita tidak mendengar kes sumbang mahram di mana-mana, kita juga tidak berkesempatan untuk melihat si pegawai polis berkejar-kejaran menangkap si perompak.

Bahkan, mungkin juga balai-balai polis terpaksa ditutup kerana tidak ada lagi kes yang perlu diselesaikan. Kerana apa ya? Kerana semua manusia telah cukup sempurna. Benarkah begitu?

Manusia sememangnya percaya akan kewujudan pencipta alam ini. Namun, percaya sahaja sudah tentu belum mencukupi. Begitu juga konsep kita percaya kepada rukun-rukun iman. Tidak boleh sekadar percaya. Bahkan, perlu yakin apa yang diketahui dan diimani itu.

Yakin pada semua rukun iman tersebut.

Anda percaya akan kebolehan anda sebagai seorang yang hebat berhujah. Tetapi mengapa pada  sesuatu keadaan di mana anda diberi peluang untuk menyampaikan ucapan di khalayak ramai, kekadang anda berasa tidak bersedia. Anda berasa takut-takut dan gementar. Ya, ketika itu anda sebenarnya tidak yakin pada kebolehan anda.

Sekadar percaya sahaja, itu belum mencukupi.

Justeru, mahu percaya sama saya? Jangan percaya sahaja ya, tetapi yakinlah bahawa tuhan ciptakan kita dengan seribu satu kelebihan yang kita sendiri kekadang tidak percaya. Mengapa mesti ragu-ragu, percaya dan yakinlah pada diri sendiri, insyaallah kita akan berjaya.

Selamat maju jaya!