jangan salah faham budaya tidur, ya

PERNAH alami masalah sukar untuk tidur? Apa masalahnya ya? Aku sudah cuba untuk tidur tapi tak boleh juga. Ha, mungkin ada juga yang berkata, aku memang tidak punya kesempatan untuk tidur walaupun sekejap.  Tidak ada masa!

Wah, sibuk benar ya. Langsung tidak punya kesempatan untuk melelapkan mata. Memang tidak dapat dinafikan bahawa tidur amat penting dalam kehidupan seharian kita.

Tanpa tidur dan rehat yang mencukupi, semua perkara tidak akan jadi. Mulalah hendak marah kawan-kawan sekitar kita.

Justeru, bagaimana mahu memastikan kita mendapat tidur yang semaksimum mungkin? Macam mana mahu mencuri masa kita untuk melelapkan mata walaupun sejenak? Apa petua-petuanya?

Seorang ahli sarkas terkenal, Gunther Gebel William yang bekerja seawal pagi sehinggalah ke tengah malam mempunyai satu petua untuk dikongsi sama. Beliau langsung tidak membiarkan masanya berlalu begitu sahaja. Kesibukan kerjanya tidak juga menjejaskan kelancaran gerak kerja. Gunther mempunyai tabiat tidur yang cukup aneh. Apa yang beliau lakukan?

Ha, beliau dapat menidurkan dirinya ketika beliau sedang menukar pakaian kostum!

Beliau akan berbaring walaupun sekejap dan tidur sebentar. Lihat! Bagaimana orang berjaya mampu menggunakan masanya dengan sebaik mungkin. Kita pula bagaimana?

Lihat pula mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketika dalam satu temu ramah dengan sebuah akhbar terkemuka tempatan, beliau disoal tentang bagaimana beliau mengekalkan kerja beliau yang cekap dan konsisten tanpa sebarang keletihan. Beliau juga mampu menjalankan tugas dengan sempurna walaupun terpaksa merentas beberapa buah negara dalam lawatan-lawatan antarabangsa.

Apa rahsianya?

Ha, menurutnya beliau akan cuba mendapatkan masa untuk melelapkan mata sekitar 10 sehingga 20 minit pada waktu tengah hari. Beliau juga akan tidur selama berjam-jam sepanjang berada di atas pesawat ketika mengadakan lawatan ke negara-negara lain!

Jadi, anda bagaimana? Mahu terus sibuk? Ingin menjadi orang yang paling kuat bekerja di dunia ini? Ya, jadilah apa yang anda mahukan itu. Jangan marah-marah. Jangan tensi-tensi. Pastikan kesihatan, emosi, mental dan tidur kita sentiasa dijaga. Cerialah selalu.

Macam mana mahu cemerlang kawan-kawan kalau tidurnya sahaja sampai setengah hari? Bagaimana juga mahu terbilang kalau seharian langsung tidak melelapkan mata?

Ha, fikir-fikirkan… anda sendiri tentukan.

tidurlah macam saya ya...