AMIRAH datang berjumpa Hamid, katanya dia ditinggalkan oleh orang yang paling disayanginya. Mengadu bahawa dia merasa bahawa hidup ini sudah tidak bererti lagi. Tidak punya apa-apa makna.

Suraya pula menjerit-jerit, meraung dan menghentak-hentak kaki. Pintu dibilik dikunci dari dalam. Puas Mak Minah mengetuk pintu tersebut. Memujuk supaya anak bongsunya itu segera diam. Kerana gagal dalam peperiksaan, Suraya merasa seolah hendak membunuh diri.

Di sebuah perbukitan, di bawah sebatang pohon yang merendang, Tajol terduduk. Merenung sendirian. Tidak tahu ke mana hendak dituju. Matanya jauh memandang ke jihat hadapan. Kematian kedua orang tuanya benar-benar menggugah emosi. Dia kecewa. Apakah ada jalan pengakhiran buatnya.

Kenapa semua mereka menjadi begitu? Apakah itu suatu suratan kepada mereka atau sekadar kebetulan?

Ketahuilah bahawa sabar itu merupakan suatu tingkat dari tingkat-tingkat agama dan juga merupakan suatu kedudukan dari kedudukan orang-orang beriman menuju kepada Allah S.W.T. – (Imam Ghazali)

Mengapa tiada sikap sabar? Apakah kita semua telah dilarikan dari rasa itu? Bukankah kita dilahirkan dengan sikap yang mampu membezakan kita dengan makhluk yang tidak punya akal?

Abu Darda’ juga ada menambah bahawa ketingggian iman itu ialah sabar dengan hukum Allah dan rela dengan takdir Allah. Justeru, mengapa tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Bukankah itu sudah suratan dariNya. Mahu menentang? Fikirkanlah sendiri. Siapa kita.

Jika hari ini kita menganggap bahawa kita telah diuji dengan sebesar-besar cubaan, apakah kita tidak terfikir bahawa lebih ramai lagi manusia lain yang mengalami seperti apa yang kita rasa. Kita bukannya hidup seorang diri.

Kawan-kawan, jika susah sangat hendak menganggap itu semua sebagai ketentuannya. Kalau susah sangatlah ya. Maka, anggap sahajalah itu semua sebagai kebetulan. Dan saya rasa sekiranya ada di kalangan anda yang sedemikian rupa, maka teruk sangatlah itu.

Suatu hadis ada menyebut bahawa tanda iman itu ialah bersyukur di atas kelapangan, sabar atas cubaan dan rela dengan ketentuannya.

Justeru, mahu menganggapnya suratan atau kebetulan? Ah, pedulikan saja ya. Yang penting  ialah di mana letaknya pendirian kita. Mahu terima atau menentang. Ingat ya,  tuhan tidak jadikan sesuatu itu dengan sia-sia sahaja. Pasti bersebab…