Tangisnya Cuma sayang Iblis 1

Tangisnya Cuma Sayang Iblis 2

MANUSIA RAKUS SELALU LUPA PADA KUASA MAHA PENCIPTA. TERKADANG LALAI BAHAWA DIALAH YANG BERHAK UNTUK DIAGUNG. TIADALAH YANG LEBIH PUNYA KUASA MELAINKANNYA…

Kampung Hulu Belintar

MAJLIS kenduri kesyukuran di rumah Penghulu Karim sedang berjalan. Seluruh penduduk kampung berkunjung ke rumah. Imam Mursyid mengetuai majlis itu. Bayi yang dikendong oleh Tok Penghulu itu tidak henti-henti menangis sedari tadi. Tangisannya seolah-olah memanggil dan menyeru supaya majlis tersebut dihentikan.

Di luar rumah, Aliff termengah-mengah memanggil Penghulu Karim. Majlis terhenti sejurus mendengar jeritan anak kecil itu. Imam Mursyid dan Penghulu Karim lekas menuju ke muka pintu. Aliff sudah terpunduk di tangga rumah.

“Tok…ayah saya! Ayah dan ibu saya hilang Tok!!!” ujar Aliff dalam nafas termengah-mengah. Penghulu Karim segera mendapatkan Aliff. “Bagaimana boleh berlaku? Cuba ceritakan kepada kami.”

Sebaik sahaja diceritakan kisah yang sebenar, Penghulu Karim terus mengarahkan agar dikumpulkan kesemua penduduk kampung. Termasuklah penduduk desa yang berhampiran. Maka, berduyun-duyunlah mereka menuju ke rumah Tok Penghulu. Penghulu Karim segera membahagikan mereka kepada tiga kumpulan besar. Setiap satunya akan dipecahkan lagi kepada beberapa kumpulan-kumpulan kecil. Kerja mencari Iskandar dan isterinya bermula.

Lima hari berturut-turut penduduk kampung mencari Iskandar dan isterinya. Namun masih tidak dijumpai. Situasi itu benar-benar membimbangkan Penghulu Karim. Semenjak itu juga, lima kematian mengejut telah berlaku di kampung itu. Semuanya dengan cara yang hampir serupa.

Terdapat kesan gigitan dan torehan di seluruh wajah seperti dirobek-robek oleh manusia berhati binatang. Seluruh penduduk kampung diselubungi ketakutan. Penghulu Karim mengarahkan semua penduduk agar duduk diam sahaja di rumah sebaik senja menjelang.

Imam Mursyid dan beberapa orang masjid yang lain kembali dijemput ke rumah Tok Penghulu untuk membincangkan musibah yang sedang melanda kampung mereka.

“Apa pandangan tuan-tuan sekalian mengenai kekacauan di kampung kita ketika ini?” Penghulu Karim memulakan perbincangan petang itu. Nafasnya direngus, melepaskan keluhan yang sangat berat. Garis-garis kerutan di dahi menyerlahkan lagi kegalauan di hatinya.

“Begini Tok Penghulu, saya merasakan ada yang tak kena di kampung kita ni,” celah Imam Mursyid. Ketenangan masih terpamer di wajah bersihnya. Walaupun kian dihambat usia, buah fikirannya sering kali digunakan oleh Penghulu Karim.

“Apa maksud tuan imam?”

“Saya merasakan ada suatu kuasa jahat yang cuba menghancurkan kampung kita.” Imam Mursyid cuba meneka. Perkara itu sudah lama difikirkannya semenjak hari pertama kehilangan Iskandar dan isterinya.

“Sihir?”

Penghulu Karim mahukan kepastian lanjut. Imam Mursyid hanya mengangguk mengiakan. Mereka yang lain terpinga-pinga kehairanan. Ada yang mula berbisik-bisik.

Mukim Banjaran Denai

ANGIN Laut China Selatan bertiup menyapu malam derita bagi Iskandar. Kedengaran deburan  laut membawa gulungan-gulung ombak menghempas ke pantai. Mukim Banjaran Denai merupakan suatu kawasan yang hampir dengan pesisir pantai menghadap Laut China Selatan. Menurut hikayat dan lagenda yang mengisahkan tempat itu beberapa kurun yang lampau, Banjaran Denai pernah menjadi tempat pertarungan hebat antara  pengamal-pengamal sihir.

Mereka dikatakan merebutkan kawasan itu yang dikatakan suatu tempat qaramah bagi mereka. Semenjak itu, mukim itu akan dijadikan tempat pemujaan syaitan dan iblis. Hanya mahukan kekuasaan dengan menindas manusia lain. Sanggup membeli akhirat untuk mendapat kemegahan dan keagungan di muka bumi.

Derapan kaki yang mematahkan ranting-ranting kayu dapat didengari oleh Iskandar. Dia mula berwaspada. Siap siaga untuk menghadapi ancaman yang sudah dijangka. Inilah balasan bagi mereka yang memungkiri janji. Azab akibat melawan sumpahan sang penderhaka di langit.

Cuping telinga dipicingkan.

Bersambung…

p/s Semua koleksi cerpen SangMentari ada di ruangan kanan pautan kategori bacaan. Selamat membaca.