Siapa jejaka macho

“Aku bukannya sedih sangat. Cuma aku kecewa. Aku jujur dengan dia. Tapi dia langsung buat aku macam ini. Apa salah aku.”

HA, KALAU perempuan yang cakap begitu tidak mengapa. Tapi apa akan jadi jika lelaki pula yang berkata begitu. Lelaki menangis bila ditinggalkan wanita. Aduh, bukankah ini benar-benar suatu yang memalukan!

Wanita menangis bila ditinggalkan lelaki itu biasa. Yang tidak biasanya ialah lelaki yang menangis. Air mata lelaki ini terlalu tinggi nilainya. Janganlah dibiarkan ianya mengalir hanya kerana seorang perempuan. Ya, jujur memang tiada yang salahnya. Namun, andainya dia yang tidak jujur, apa ditunggu lagi, kawan. Kita carilah yang lebih jujur terhadap kita. Tentu lebih ramai bukan?

Lelaki menangis kerana wanita memang tidak macho. Tak macho? Ya, seolah hilang nilai kejantanannya. Jadi, macam mana yang dikata jejaka macho itu?

Menurut Travis Derouin, seorang lelaki macho dan gentleman sentiasa berlaku sopan terhadap manusia lain. Bagaimana itu? Contohnya begini, lelaki macho akan sentiasa berkeadaan biasa dan sopan walaupun manusia lain bersikap kejam dan tidak baik terhadapnya. Sopan juga  terhadap  apa benda, sama ada orang tua mahupun anak-anak kecil.

Lewis Collard, seorang penulis pula menambah bahawa seorang yang dikata macho tidak terlalu menceritakan hal tentang dirinya. Sering juga dikatakan seorang lelaki yang berahsia. Wanita akan lebih tertarik pada seorang lelaki yang kelihatan misteri berbanding yang biasa-biasa sahaja. Benar bukan?

Apa lagi ya? Ha, pernah jumpa lelaki yang berpakaian selekeh. Apa pendapat anda? Seorang yang macho juga harus sentiasa menjaga personaliti. Pakaian perlu sentiasa dijaga. Tidak semestinya formal. Yang penting kelihatan bersih dan kemas walaupun memakai jeans.

Chris Hadley, pengarang How To be A Gentleman menambah bahawa seorang lelaki perlu sentiasa ikhlas.

Jujur dalam setiap ikatan. Tambahnya lagi, lelaki harus bijak dan tahu banyak perkara. Luaskan pengetahuan kepada semua aspek kehidupan sama ada hiburan, sukan, politik dan juga agama.

Bagi yang sudah punya pasangan, banyakkan bercerita tentang perkara yang digemari oleh pasangannya. Kebanyakan wanita tidak gemar bercerita tentang sukan. Mereka lebih gemarkan muzik, bunga tumbuhan dan bacaan-bacaan. Kebiasaannya ya. Bukan semua macam itu.

Lagi? Ya, banyakkan memberi, postur badan perlu sentiasa dijaga, sentiasa kelihatan yakin, tenang dalam apa jua keadaan dan yang paling penting punya nilai pegangan agama yang cukup kukuh. Lelaki macho perlu ada prinsip yang jelas. Tidak mudah terpengaruh dengan kuasa dan kesan dari luar.

Jadi, anda lelaki sidang pembaca. Mahu menjadi macho? Saya mengingatkan diri saya sendiri dan juga anda semua, kalau kita mampu berubah hari ini, mengapa mesti tunggu ke hari esok?

Jom, jadi macho!