Jom! Tendang kepala gajah.

PERNAH lihat bagaimana seekor gajah ditendang kepalanya? Adakah antara anda yang pernah jumpa manusia yang berani-berani melakukan sedemikian rupa? Manusia menendang si gajah.

Lumrahnya, gajah memang sukar mahu ditendang oleh manusia. Ada yang masih kurang percaya? Bayangkanlah sahabat-sahabat sekalian, bagaimanalah seorang yang bernama manusia itu dapat menendang kepala si gajah sedangkan yang mahu ditendang itu letaknya di atas kepala kita. Naik tangga barangkali baru dapat melakukannya!

Suatu kajian dari Harvard School of Public Health and Department of Veterans Affairs mendapati bahawa golongan tua yang sentiasa yakin dan optimis mempunyai risiko yabg lebih rendah untuk menghidap penyakit jantung koronari. Ha, apa maknanya itu?

Ya, untuk menggapai apa yang kita hajati, kita perlu lakukan sesuatu yang disifatkan luar biasa. Luar dari kebiasaannya.

Allah juga telah sebutkan bukan dalam surah al-hijr ayat 56 yang bermaksud,

“Ibrahim berkata, ‘Tidaklah berputus asa daripada rahmat Allah melainkan golongan yang sesat sahaja’.”

Teman-teman, apa ertinya kita hidup jika sekadar mahukan yang biasa sahaja. Bangun pagi celik mata semua sudah ada di depan mata. Bukankah lebih baik setiap yang kita peroleh itu datangnya dari usaha kita. Suatu yang kita lakukan dengan kerja kuat kita. Bukan hanya bersandar pada nasib semata.

Jadi sidang pembaca sekalian, mahu menendang kepala gajah? Ya, jawapannya ada di tangan anda. Ada juga di tangan saya. Ayuh, mari bersama saya. Kita berani-berani tendang kepala si gajah. Jom!

Suatu yang luar biasa akan terhasil dengan kerja yang luar biasa juga bukan?