KESUSAHAN KEKADANG MENGAJAR KITA ERTI SYUKUR KE ATAS YANG DIKURNIA. MANUSIA JARANG INGAT KEPADA KESUSAHAN TATKALA KIAN DILIMPAH KESENANGAN. TUHAN, KAU INGATKANLAH DIRIKU TIKA YANG BERNAMA DIRI INI SEMAKIN HANYUT.

Diari Pilu 11 tahun  lalu…

Ibu masih di dapur. Entah apa yang dibuatnya, saya pun tidak tahu. Saya pusingkan badan ke kanan. Rasanya semacam kurang selesa. Lalu saya menukar ke arah kiri pula. Bantal putih bercorak bunga melor itu saya biarkan menutup sebahagian muka.

Suasana agak tenang. Kedengaran bunyi lesung diketuk bertalu, berulang-ulang dari arah dapur. Saya biarkan sahaja. Ibu sedang masak agaknya, getus saya sendirian.

Matahari kian memancar terik. Sesekali menyimbah, terkena juga ke mata saya. Wah, sudah pagi rupanya.

Saya buka mata perlahan-lahan. Kejip-kejipkan mata, kemudian kuatkan diri ke arah dapur. Tentu ibu ada di situ. Memasak memang kegemarannya. Mengajar saya alif, ba dan ta juga hobinya.

Ibu, kau mesti letih bukan?

Kemudian, saya terus mandi. Ibu terjerit-jerit di luar. Saya disuruh keluar segera. Sudah berjam katanya. Sedangkan saya baru beberapa minit di bilik air. Oh, saya tahu ibu mahu mendidik saya agar menjadi penjimat. Jimat pada wang dan yang penting jimat pada masa.

Ayah tiada ketika itu. Ke tempat kerja seawal pagi sudah menjadi kebiasaannya. Kasihan saya lihat ayah. Ya, petang-petang nanti tatkala azan maghrib ingin berkumandang, baru ayah sampai di rumah. Ayah kerja jauh sebenarnya. Kata ibu, ayah kerja jauh supaya boleh dapat banyak duit. Boleh besarkan kami adik-beradik. Ayah hendak kami hidup senang suatu masa nanti.

Terima kasih ayah.

Malam itu ayah dan ibu duduk dengan saya sama-sama menonton televisyen. Siaran hitam  putih itu sudah cukup menghiburkan kami anak-beranak. Membuatkan kami ketawa sama-sama. Kami gembira malam itu.

Ibu cakap dengan ayah yang ibu ingin bekerja. Mahu membantu ayah katanya. Ayah tidak izinkan. Ayah kata, ayah mahu ibu beri perhatian kepada saya. Ayah mahu ibu sentiasa ada dengan saya. Ayah ingin ibu di sisi saya sepanjang masa. Ibu menghela nafas panjang, langsung tidak membantah. Ibu tahu ayah pasti inginkan yang terbaik untuk keluarga.

Saya letakkan kepala saya atas riba ayah. Ayah usap lembut rambut-rambut saya. Saya lihat urat-urat yang menyelirat di tangan ayah. Ayah tentu terlalu penat bekerja. Dahi ayah sudah mula nampak garit-garit kerutan. Ayah, kalau saya telah membuatkan ayah tua, awal dari usiamu sepatutnya saya mohon ampun ya. Saya tahu ayah banyak berkorban untuk saya,  untuk keluarga tercinta.

Esok keputusan peperiksaan saya akan keluar. Saya takut. Berdebar-debar pun ada. Saya tak sabar sebenarnya. Saya sangat berharap dapat menggembirakan hati ayah dan ibu… Moga esok kalian akan tersenyum.

Hari esok, saya gagal membuatkan ayah dan ibu tersenyum.  Mereka berdua terlalu kecewa. Ayah, ibu… ini saja yang termampu kuberi untukmu. Maafkan anakmu…

(7C-20A Kampung Laut, Skudai Johor, 1998)