KADANG-KADANG MANUSIA ITU TEWAS DALAM MAINAN CINTA MEREKA SENDIRI. KERANA MEREKA LUPA BAHAWA CINTA KEPADANYA JUALAH YANG KEKAL, TIADA AKHIRNYA.

“Aku tak pernah nampak kau macam ini. Kau kuat, Aisyah. Kau perlu buktikan bahawa kau wanita yang unggul. Bukankah itu janjimu suatu masa dulu,” ujar Shoukri, bernada memujuk. Memberi suntikan semangat yang kian menghilang.

“Sungai Nil dan piramid tidak bisa dipisah. Ibarat sepasang ciptaan yang sungguh istimewa. Bumi Anbiya’ ini pun sepertinya sudah lekat dengan jiwa para ulamak. Terlalu sukar untuk pisahkan mereka semua.”

“Aisyah, hidup kita ini hanyalah mencari bekalan untuk hari kemudian. Jangan sesekali tangisi penderitaan maya yang sekejap. Dunia ini hanya mimpi. Bukalah matamu itu, Aisyah. Jangan biarkan hatimu buta. Leka pada kelalaian yang tidak semenggah.”

“Kau tak faham perasaan aku, Shouk. Aku yang tahan semuanya. Aku tak kuat. Aku lemah Shouk…”

“Apa yang kau cakap ni?”

El-Azhar Park, Kaherah – 1999

AMRI masih berjalan santai-santai di situ. Anak-anak gadis Mesir begitu sibuk mengambil beberapa kepingan foto untuk dibuat kenang-kenangan. Amri masih berseorangan. Petang-petang begitu memang enak untuk melayan perasaan. Dari jauh dapat dilihatnya sekumpulan pemuda dan anak-anak remaja lelaki yang meriuhkan suasana. Semuanya kelihatan riang sekali.

Di suatu sudut yang lain, Aisyah sedang asyik membelek-belek senaskhah buku kecil yang baru dibelinya sebentar tadi. Memang menjadi kelazimannya untuk menghabiskan masa pada hujung-hujung minggu di situ.

Zaidah turut menemaninya petang itu. Gadis tersebut merupakan mahasiswi kuliah syariah di tahun satu. Semenjak menjejakkan kaki ke bumi mesir, dia terus tinggal di rumah yang disewa oleh Aisyah dan rakan-rakannya. Aisyah sudah dianggap sebagai kakak kandungnya sendiri. Kepada dialah tempat mengadu pada segala-galanya.

Suasana petang itu sungguh mendamaikan. Anak-anak kecil tidak penat-penat berlari ke sana ke mari. Aisyah tersenyum sendirian.

“Kak, kenapa ya kakak suka bersendiri di sini?” soal Zaidah. Aisyah dilihatnya masih tekun dengan bacaannya.

“Tak ada apalah dik. Akak cuma mahukan sedikit ketenangan. Kamu tak suka kita ke sini?”

“Bukan macam itu kak. Saja saya tanya. Manalah tahu ada apa-apa yang membuatkan akak tidak boleh lupa pada tempat ini.”

“Eh, kamu ni Ida. Memandai aje buat cerita. Tak ada apa-apalah, dik…”

“Saya tahu akak sembunyikan sesuatu daripada saya kan. Eleh, dengan saya pun nak berahsia. Lambat laun saya tahu juga,” balas Zaidah sambil ketawa-ketawa manja.

“Ish kamu ni. Akak cakap tak ada, tak adalah. Suka ya mengusik akak.”

“Kak.. akak ada tak apa-apa peristiwa yang akak tak dapat nak lupa sampai saat ini?” ujar Zaidah, seakan menukar topik perbualan. “Maksud saya, kenangan-kenangan pahit atau manis dalam hidup. Mesti ada kan. Kongsilah kak. Nak juga adik akak ni tahu…”

Aisyah hanya tersenyum. Sambil menarik nafas yang agak dalam dia menyambung bacaannya semula. Soalan Zaidah sengaja tidak dijawabnya.

“Akak… dengar tak soalan saya tadi. Dia ni, orang cakap buat tak tahu aje,” ujar Zaidah, merayu manja.

“Akak dengar. Saja akak tak nak jawab soalan kamu tu. Kamu kan kecik lagi. Mana boleh tahu cerita orang dewasa,” balas Aisyah selamba. Matanya masih tertumpu kepada bukunya.

“Eh, kita dah besarlah. Ada pulak dia kata kita budak kecik lagi. Akak… bagitahulah… nak jugak saya tahu apa dia istimewanya tempat ini pada akak. Boleh ya…”

Telefon bimbit di beg tangan Aisyah tetiba berbunyi. Lantas dijawabnya panggilan tersebut. Zaidah menghembus senafas kasar. Pertanyaannya langsung tidak diambil endah oleh Aisyah.

“Ya, saya tahu. Saya faham. Tapi awak berilah saya masa. Bagi saya peluang untuk fikirkannya. Jangan terus memaksa saya,” ujar Aisyah, menjawab panggilan telefon tersebut. Kemudian panggilan tersebut serta-merta diputuskannya.

Suasana sepi. Hening buat seketika. Tiada sepatah kata yang terucap daripada kedua-dua anak gadis tersebut. Zaidah tahu Aisyah sedang berdepan dengan masalah. Cuma dia sahaja yang enggan berkongsi dengannya selama ini.

Memang itulah sikap Aisyah. Setiap kali ditimpa masalah, dia lebih banyak menyendiri. Baginya setiap masalah yang dihadapinya itu tidak perlu diketahui oleh rakan-rakannya yang lain. Tidak mahu menyusahkan mereka katanya.

“Assalamualaikum…”

Suara seorang lelaki tiba-tiba kedengaran menyapa mereka dari arah belakang.

Bersambung…

p/s Koleksi cerpen-cerpen SangMentari sebelum ini ada di ruangan pautan Cerpen SangMentari.