Cerialah, kawan!

KENAPA masih bersedih kawan? Banyak sangatkan masalahnya itu? Masih tidak habis-habis lagi bala yang menimpa?

Ya, sebagai hambaNya yang taat, kita harus terima hakikat bahawa memang kita harus diuji. Memang kita patut ditimpa musibah. Bukankah itu juga janji daripadaNya.

Setiap kesukaran dan kesulitan itu pasti ada kesenangannya.

Dua kali bukan Tuhan ulang ungkapan tersebut. Ingatlah, setiap apa yang berlaku itu pasti ada baiknya untuk kita. Cuma kita sahaja yang belum menemuinya. Jadi, macam mana mahu terus ceria?

Teman-teman, pernahkah anda terfikir nasib mereka-mereka yang jauh lebih dahsyat daripada kita? Pernah bukan. Kalau kita hari ini hanya mampu menjamah sebungkus maggie kerana kesuntukan masa, pernahkah pula kita bayangkan sahabat-sahabat kita di Darfur, Palestin, Iraq dan tempat-tempat lain? Adakah mereka masih mampu tersenyum sebagai mana senyuman anda ketika ini?

Hari ini saya mahu mengajak anda semua sidang pembaca sekalian untuk kita sama-sama muhasabah diri kita. Muhasabah? Pernah buat selama ini? Saya yakin anda yang sedang tensi, sedang merajuk, sedang cemburu atau pun yang sedang marah-marah itu tentu belum lagi laksanakannya sebelum ini.

Sudah? Ya, jika anda telah laksanakannya anda pasti mendapat suatu kelainan pada diri anda. Anda tentu sudah akur dengan permainan hidup ini. Kalau yang tidak rasa apa-apa itu, nampak sangatlah kaki temberang. Maaf ya kepada yang terasa itu.

Ya, sesekali kita perlu lakukan sedikit iktibar atas keangkuhan kita di muka bumi ini. Kita terlalu angkuh dan sombong sebenarnya. Masih tidak sedarkah kita bahawa telah banyak nikmat yang Tuhan kurniakan kepada kita selama ini? Adakah kita masih tidak bersyukur dengan kelebihan yang ada pada kita?

Yang sedang bergelar mahasiswa, adakah masih enggan mengakui bahawa Tuhan telah pilih kita di kalangan ribuan remaja untuk bergelar seorang pelajar universiti? Bagi yang telah menempuh alam pekerjaan, adakah anda lupa bahawa terlalu ramai yang masih tidak punya kerja di luar sana. Adakah ini masih tidak menyedarkan kita lagi?

Ingatlah ya, masalah ini sebenarnya hanyalah sebagai hiburan.

Asam garam hidup. Anda mungkin dengan masalah anda. Saya pula dengan masalah saya. Setiap kita punya masalah masing-masing. Sejauh mana kita mampu mendepaninya, disitulah sebenarnya letaknya wibawa kita. Di situlah letaknya kredibiliti kita sebagai manusia hebat.

Justeru, anda semua bagaimana? Mahu bersedih? Masih mahu berduka? Hendak marah-marah? Baiklah, saya sudah ingatkan ya bahawa sama ada kita sedih atau pun gembira, perjalanan hidup kita tetap akan terus bergerak. Bergerak dan terus  bergerak. Jadi, apa gunanya untuk masam-masam muka. Cerialah, kawan.

Jom, kita terus  gembira!